Baru semalam angkat sumpah, Menteri Wilayah Persekutuan cadang bubar Parlimen

Dalam satu kenyataan melalui twitter beliau, Anuar yang juga Setiausaha Agung Umno itu berkata, “Kita serah pada rakyat, sejauh mana rakyat mahu geng bersama DAP ini.”

Baru sehari angkat sumpah dan sudah menjadi menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Annuar Musa mencadangkan agar Parlimen dibubarkan, lapor Malaysia Dateline.

Annuar Musa minta Parlimen dibubar melalui twitter beliau.

Dalam satu kenyataan melalui twitter beliau, Anuar yang juga Setiausaha Agung Umno itu berkata, “Kita serah pada rakyat, sejauh mana rakyat mahu geng bersama DAP ini.”

Dalam ciapan yang dibuatnya pada jam 8.09 pagi ini, Annuar menulis, “setelah kerosakan yg ditinggalkan PH diuruskan dan wabak covid-19 reda, kita harap pintu depan segera dibuka dengan Parlimen dibubarkan, seperti mana dari awal dimahukan oleh Muafakat Nasional.”

Annuar bersama 69 lagi anggota jamaah menteri dan timbalan menteri mengangkat sumpah petang semalam di hadapan Yang Dipertuan Agong.

Langkah beliau meminta agar Parlimen dibubarkan selepas berada dalam barisan Kabinet Muhyiddin mengejutkan banyak pihak.

“Apakah Annuar dan Umno tidak yakin dengan kabinet Muhyiddin atau tidak tahan dengan gelaran pintu belakang yang diberikan kepada kerajaan Perikatan Nasional ini,” kata seorang penganalisis politik, Mohamad Azlan Zainal.

Azlan, Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre berkata, apa yang berlaku umpama “rumah siap, pahat berbunyi” membayangkan Umno tidak berpuashati dengan apa yang berlaku dalam kerajaan Muhyiddin ini.

Katanya, tindakan Muhyiddin mengenepikan pemimpin utama dalam Umno termasuk Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hassan sudah tentu menyebabkan Umno tidak berpuashati kerana Kabinet ini dikuasai oleh Muhyiddin, padahal Umno paling ramai ahli Parlimen.

PAS JUGA TIDAK PUASHATI

Bagi beliau, Pas juga tidak berpuashati dengan Kabinet ini.

“Saya yakin tindakan memberikan portfolio Alam Sekitar bukan agama kepada timbalan presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sudah tentu merimaskan parti itu.

“Pas sudah tentu berhadapan dengan tekanan dari ahli-ahlinya, memberikan sesuatu bukan pada tempatnya. Ini satu kezaliman. Tuan Ibrahim ini ulama, kenapa jaga alam sekitar,” kata Azlan kepada Malaysia Dateline.

Kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa dia tidak dilantik ke dalam Kabinet untuk membolehkan beliau memantau pemimpin Pas yang ada dalam Kabinet juga tidak lojik.

“Bila Ustaz Hadi memantaunya sebagaimana berlaku kepada kerajaan Kelantan dan Terengganu. Adakah dia pantau tindakan Exco Kelantan membeli kereta mewah dan memberi bonus kepada mereka sendiri. Ini satu tindakan yang menyusahkan Pas,” kata Azlan.

Bagi seorang aktivis Umno, apa yang dibuat Muhyiddin kepada Tuan Ibrahim adalah satu kes penganiayaan.

Melalui Facebooknya, Datuk Zaharin Mohd Yasin berkata, Menteri Alam Sekitar ini tidak ada pejabat, KSU (Ketua Setiausaha) pun tidak ada lagi.

Tulisan Zaharin dikecam oleh cybertrooper Pas, namun itulah hakikatnya.