Kerajaan PN ketepi suara masyarakat Orang Asli – MP Cameron Hihglands

Katanya, masyarakat Orang Asli bukan sahaja kumpulan yang paling miskin dan mundur di negara ini, tetapi kini suara politik mereka yang julung kali “hadir di pesada politik negara terus dikuburkan.”

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengketepikan kepentingan Orang Asli apabila gagal melantik sebarang wakil masyarakat itu dalam barisan jemaah menteri, kata ahli parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Noor, lapor Malaysiakini.

“Yang amat jelas Orang Asli diketepikan langsung.

“Tengok MCA berapa orang lantikan senator… tengok parti lain bawah Bersatu berapa orang lantikan senator jadi menteri.

“Orang Asli satu orang pun yang dilantik rakyat macam jadi beban untuk mereka… Mana keadilan pada masyarakat orang asli?”soal Ramli.

Katanya, masyarakat Orang Asli bukan sahaja kumpulan yang paling miskin dan mundur di negara ini, tetapi kini suara politik mereka yang julung kali “hadir di pesada politik negara terus dikuburkan.”

Bagi rekod, Ramli adalah ahli parlimen Orang Asli pertama yang memenangi pilihan raya kecil Cameron Highlands tahun lalu di bawah tiket BN.

Sementara itu, gabungan persatuan Orang Asli juga telah menyatakan kekecewaan mereka dengan pengecualian Ramli sebagai wakil Orang Asli tunggal dalam kabinet.

“Secara logik, jika sejarah memerlukan 62 tahun untuk melantik seorang Orang Asli sebagai wakil rakyat melalui undi, adakah kerajaan PN memerlukan 62 tahun lagi untuk melantik ahli kabinet dari Orang Asli?” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu menekankan bahawa kerajaan PN perlu mengutamakan kebajikan Orang Asli sejajar dengan Perkara 8 (5) (c) Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu disahkan oleh Persatuan Orang Asli Perak, Persatuan Orang Asli Kelantan, Persatuan Seni dan Budaya Orang Asli Perak, Persatuan Orang Asli Batang Padang, serta Persatuan Bola Sepak Orang Asli.