Pas Pahang tak tuntut jawatan exco

Bagaimanapun, Pas bersedia bersama-sama menyumbangkan buah fikiran, tenaga dan khidmat kepakaran untuk menguruskan kerajaan negeri dengan lebih baik terutama dalam agensi-agensi kerajaan.

dav

Pas Pahang memutuskan tidak akan menuntut jawatan Exco Kerajaan Negeri sebaliknya memberi sokongan penuh kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri sekarang yang diterajui wakil rakyat Barisan Nasional.

Ia dibuat selepas melihat perjalanan pengurusan kerajaan negeri yang baik dan lancar seterusnya melalui mesyuarat harian Pas Pahang hari ini telah membuat keputusan ini.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar, berkata, walaupun berlaku perubahan politik di peringkat nasional dan di beberapa buah negeri namun Pas Pahang menyokong barisan Exco Kerajaan Negeri yang sedia ada.

Bagaimanapun, Pas bersedia bersama-sama menyumbangkan buah fikiran, tenaga dan khidmat kepakaran untuk menguruskan kerajaan negeri dengan lebih baik terutama dalam agensi-agensi kerajaan.

Jelasnya, wakil rakyat Pas akan tetap meneruskan peranan semak dan imbang walaupun telah menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.

Tambahnya, sebagai langkah permulaan Pas akan melibatkan diri dalam pentadbiran peringkat akar umbi melalui penyertaan dalam JKKK seluruh negeri Pahang.

“Pihak kami tidak akan menuntut dan juga tidak erti kata lain tidak bersedialah untuk menerima jawatan tersebut pada ketika ini sehinggalah kepada PRU15 kecuali jikalau sekiranya ada berlaku arahan daripada peringkat Perikatan Nasional pusat, kalau sekiranya ada arahan-arahan yang sedemikian maka pihak kami akan berbincang dengan pihak kerajaan negeri.

“Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah bukan kerana kita telah melihat perjalanan kerajaan negeri pentadbiran pada ketika ini telah berjalan dengan baik dan lancar dan kami tidak berhasrat untuk mengganggu pentadbiran negeri pahang pada ketika ini,” katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan Pas Negeri Pahang di Temerloh, hari ini.

Bagaimanapun, Adun Tanjung Lumpur itu tidak menolak mempertimbangkan sekiranya ada tawaran untuk menyertai GLC atau anak syarikat kerajaan negeri.