Tak timbul isu, enam helikopter diterima paling lewat hujung tahun -Hishammuddin

Beliau menjawab kenyataan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mempersoal integriti kabinet Perikatan Nasional, dengan membangkitkan pembelian helikopter berjumlah RM300 juta oleh kerajaan BN pada November 2015.

Isu pembelian enam buah helikopter yang masih belum diterima kerajaan tidak lagi timbul apabila helikopter tersebut akan diterima paling lewat akhir tahun ini, menurut Menteri Luar Negeri baru Hishammuddin Hussein, lapor Malaysiakini

Beliau menjawab kenyataan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mempersoal integriti kabinet Perikatan Nasional, dengan membangkitkan pembelian helikopter berjumlah RM300 juta oleh kerajaan BN pada November 2015.

“Itu sajalah yang dia (Anwar) mampu lakukan.

“Saya sudah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu helikopter ini,” kata Hishammuddin yang menjadi menteri pertahanan antara Mei 2013 hingga Mei 2018.

Hishammuddin berkata, beliau telah dimaklumkan oleh pihak tentera bahawa helikopter yang dibeli itu akan diterima paling lewat akhir tahun ini.

“Jadi ia bukan lagi satu isu,” katanya lagi, dalam sidang media di Wisma Putra hari ini.

Terdahulu, Anwar mempersoalkan sama ada barisan jemaah menteri baru benar-benar bersih seperti yng dikatakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Saya nak tanya ini, SPRM mana yang kata dan jelaskan barisan ini bersih? Apakah aspek dan sisi yang diambil kira oleh SPRM dengan mengisytiharkan kabinet ini ‘bersih’?

“Yang helikopter hilang itu, besar kes dia. Yang lain semua terpalit,” katanya tanpa menyebut nama secara khusus.

Urus niaga yang dinamakan “Little Birds” itu dibuat antara kerajaan BN dengan MD Helicopters Inc, anak syarikat gergasi aeroangkasa Amerika Syarikat, McDonnell Douglas Corp.

Enam helikopter MD530G Light Scout Attack sepatutnya diterima dalam dua fasa – dengan dua buah pada Julai 2017 dan empat lagi sebelum Disember 2018.

Pada November 2019, Kementerian Pertahanan menjelaskan bawah kelambatan penghantaran ekoran pelbagai isu teknikal berkaitan syarikat pembuat asal (OEM).

Bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu sebelum ini berkata, kementerian itu telah menyiasat urus niaga tersebut dan akan mendapatkan nasihat Pejabat Peguam Negara untuk langkah seterusnya.