Wanita 70 tahun antara ditahan berkait kes pecah rumah

Polis percaya dengan penahanan ketiga-tiga suspek itu berjaya menyelesaikan 12 kes pecah rumah di kawasan Kuala Tembeling.

dav

Susulan tangkapan seorang lelaki yang dikehendaki berkait kes narkotik di Kampung Mogol dekat Ulu Tembeling, Jerantut, pada 28 Februari lalu, dua wanita masing-masing berusia 70 dan 39 tahun turut ditahan.

Polis percaya dengan penahanan ketiga-tiga suspek itu berjaya menyelesaikan 12 kes pecah rumah di kawasan Kuala Tembeling.

Penahanan ibu saudara dan kakak suspek pada 3 Mac lalu adalah hasil pengakuan suspek yang juga dikenali sebagai Buntat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, DSP Azman Mat Kamis, berkata, hasil pengakuan suspek dan kakaknya, pada 6 Mac lalu sekitar jam 12.00 tengahari polis telah ke rumah ibu saudara suspek seterusnya merampas kesemua barang-barang hasil kegiatan pecah rumah.

Menurutnya, pelbagai barang seperti telefon bimbit, barang kemas, jam tangan, dompet dan sebagainya ditemui di dalam beg plastik hitam di laman rumah serta dalam sebuah bilik di rumah itu.

Sebahagian daripada barang rampasan.

Jelasnya, polis turut merampas satu bilah pisau, tiga bilah parang dan satu bekas spanar box di bilik tidur suspek yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan pecah rumah.

“Kita masih lagi dalam tahanan reman ke atas kes-kes yang lain kerana dia juga terlibat dengan beberapa kes-kes yang lain yang sedang dalam semakan.

Sebahagian daripada barang rampasan.

“Peranan kedua perempuan ini pula adalah sebagai penyimpan semua hasil-hasil pecah rumah yang dijalankan oleh suspek yang dikenali sebagai buntat ini,” katanya pada sidang media di IPD Jerantut, hari ini.

Ketiga-tiga suspek suspek direman dari mula tangkapan dan berakhir hari ini dan dijangka dituduh esok.

Buntat memiliki rekod jenayah lampau melibatkan 5 kes jenayah dan 4 kes narkotik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan manakala tambahan untuk buntat Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.