Azalina terus bidas komposisi jemaah menteri PN

Melalui, laman sosial Twitter hari ini, Azalina memuat naik 10 langkah bagi membentuk kerajaan gabungan, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia bersifat sindiran atau sebaliknya.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Azalina Othman Said dilihat bagaikan masih belum berpuas hati dengan komposisi menteri Umno dalam kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN), lapor Malaysiakini.

Melalui, laman sosial Twitter hari ini, Azalina memuat naik 10 langkah bagi membentuk kerajaan gabungan, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia bersifat sindiran atau sebaliknya.

Semalam, Azalina lantang mengiritik kedudukan menteri Umno dalam kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang tidak setara dengan jumlah kerusi dimiliki parti itu.

“Fasa 1, Bagaimana Menyediakan Kerajaan Gabungan 101, Langkah 1: Dapatkan perunding terbaik di pihak anda (parti).

“Langkah 2: Lakukan analisis SWOT parti politik anda (itu cukup asas, ya?). Langkah 3: Lakukan pengiraan, menilai perwakilan anda dalam gabungan terhadap jawatan kabinet.

“Langkah 4: Dapatkan peguam terbaik di pihak anda untuk membuat draf perjanjian kerjasama, polisi, agenda kerajaan gabungan,” ciap beliau di laman Twitter.

Sebelum ini, Azalina yang juga bekas menteri tidak berpuas hati dengan lantikan jawatan kabinet kerajaan baru yang hanya didominasi satu parti saja.

“Gabungan kerajaan harus berdasarkan perwakilan yang seimbang dan bukannya didominasi oleh satu parti.

“Untuk menjadikannya sah, mesti ada perjanjian bertulis antara parti politik yang terlibat,” ciapnya di Twitter.

Jelasnya, Umno sepatutnya layak diberikan kementerian yang lebih baik seperti Kementerian Wanita, Kementerian Dalam Negeri), Kementerian Luar Bandar, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Bagaimanapun ketika ditemui selepas mesyuarat MT Umno petang semalam Azalina berkata beliau berpuas hati dengan penjelasan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berhubung perkara itu.

Dalam ciapannya itu, Azalina berkata juru runding perlu memainkan peranan penting bagi memastikan anggota Parlimen Umno mendapat jawatan utama dalam kabinet.

Katanya, ia penting bagi memastikan proses rundingan tidak hanya didominasi oleh pihak saja dan kemudian selepas segala rundingan dipersetujui barulah kerajaan dibentuk.

“Langkah 6: Runding, runding, runding, untuk jawatan dan fungsi utama (jangan mudah putus asa, begitu saja).

“Langkah 7: Mengurangkan dominasi mana-mana satu pihak dalam proses rundingan,” katanya.

Langkah kelapan, katanya, capai konsensus berdasarkan agenda dan dasar bersama tanpa mengira ideologi parti politik individu.