Umno tak selesa Azmin dilantik menteri kanan – Tajuddin

Malah, ahli parlimen Pasir Salak itu tidak menolak kemungkinan ada sesuatu yang lebih daripada itu.

Umno berasa kurang selesa dengan tindakan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, meletakkan bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali sebagai menteri kanan, lapor Malaysiakini.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman, berkata tindakan Muhyiddin memilih Azmin sebagai menteri kanan – dan akan mempengerusikan mesyuarat kabinet ketika ketiadaan perdana menteri – merupakan penerusan agenda Bersatu.

Malah, ahli parlimen Pasir Salak itu tidak menolak kemungkinan ada sesuatu yang lebih daripada itu.

“Ini adalah isyarat yang tidak bagus. Umno tidak berapa selesa melihat perkara itu.

“Bagi saya (pelantikan Azmin sebagai menteri kanan) itu sebagai penerusan agenda Bersatu, dan mungkin lebih daripada itu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat MT Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Untuk rekod Azmin ialah bekas timbalan presiden PKR yang berpaling tadah dan mengetuai 10 ahli parlimen lain meninggalkan parti itu untuk menjadi wakil rakyat bebas buat sementara waktu.

Tidak lama selepas itu Muhyiddin mengumumkan Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan membawa kepada jatuhnya kerajaan yang baru berusia kira-kira 22 bulan.

Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad, ada menceritakan latar belakang yang membawa kepada tindakan Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari PH dalam temu bual beliau yang disiarkan Sinar Harian hari ini.

Jaga keselamatan saja

Selain Azmin, ada tiga lagi menteri kanan yang dilantik Muhyiddin iaitu Ismail Sabri Yaakob (Umno – Kementerian Pertahanan), Mohd Radzi Md Jidin (Bersatu – Kementerian Pendidikan) dan Fadilah Yusof (Gabungan Parti Sarawak – Menteri Kerja Raya).

Dalam perkembangan sama Tajuddin berkata kabinet Muhyiddin juga dilihat menyukarkan Umno berkhidmat untuk membantu rakyat.

Katanya kesimpulan itu dibuat berdasarkan portfolio yang dipersiapkan Muhyddin yang dianggap tidak menampakkan keseimbangan.

“Kita tengok jawatan yang diberikan kepada Umno pun jawatan yang tidak boleh membantu rakyat.

“Kementerian Pertanian, Kementerian Pembangunan Luar Bandar – Bersatu (yang) pegang.

“Macam Kementerian Pertahanan (yang) jaga keselamatan saja, dan apa yang boleh kita bantu rakyat di kampung-kampung yang melibatkan petani dan nelayan?” katanya.

Dalam pembentukan kabinet Muhyiddin baru-baru ini, seramai sembilan orang pemimpin Umno diberikan jawatan menteri dan sembilan timbalan menteri di sebalik jumlah ahli parlimen parti itu seramai 39 orang.

Bersatu pula – selain Muhyiddin – menguasai 10 kementerian dan 14 pemimpinnya ditempat sebagai timbalan menteri. Jumlah ahli parlimen Bersatu ialah 30 orang.

Presiden dan timbalan presiden Umno tidak termasuk dalam kabinet Muhyiddin.

Kata Tajuddin, tanpa keseimbangan dari segi portfolio kepada Umno, ia akan menjejaskan kedudukan parti itu dalam politik negara.

Sebelum ini ada beberapa pemimpin kanan Umno dan bekas menteri menyuarakan rasa tidak puas hati dengan komposisi kabinet Perikatan Nasional (PN) itu.

Anggota Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor, misalnya menyifatkan kerajaan PN mengetepikan kepentingan Orang Asli apabila gagal melantik sebarang wakil masyarakat itu.

Katanya, masyarakat Orang Asli bukan sahaja kumpulan yang paling miskin dan mundur di negara ini, tetapi kini suara politik mereka yang julung kali hadir di persada politik negara “terus dikuburkan.”

Ada sebab tertentu

Turut meluahkan rasa tidak puas hati adalah bekas menteri Umno, Azalina Othman Said.

Katanya, gabungan kerajaan harus berdasarkan perwakilan yang seimbang dan bukannya didominasi oleh satu parti.

Ia kemudiannya disusuli dengan kenyataan veteran Umno, Shahrir Samad, yang tampil mendakwa semangat en bloc PN hilang dalam barisan jemaah menteri selepas Muhyiddin diumumkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai perdana menteri kelapan.

“Keputusan dan tindakan secara en bloc oleh BN bersama PAS berjaya dilaksanakan sehingga perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk Muhyiddin menjadi perdana menteri.

“Tetapi apabila tiba kepada peringkat perlantikan anggota jemaah menteri, seolah-olah sudah kehilangan pula semangat en bloc itu,” kata veteran Umno itu dalam satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, Azalina ketika ditemui selepas mesyuarat tersebut mendakwa Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi penjelasan berhubung kedudukan Umno dalam kabinet PN.

Jelasnya, ada sebab tertentu mengapa ia dibuat sebegitu dan Umno akur dengan keputusan tersebut selagi kebebasan bersuara dan menegur kerajaan tetap dibenarkan.

Bagaimanapun Azalina tidak menjelaskan sebab tertentu yang dimaksudkannya.

“Presiden telah memberikan penjalasan tentang perkara ini dan kita menerimanya. Apa yang penting suara parti akan dibawa ke kabinet oleh menteri Umno.

“Kita akan terus menjadi suara dan telinga rakyat dan akan terus menegur dan mengkritik kerajaan,” katanya.