PKR Rompin masih kukuh, nafi cabang lumpuh

Menurut kenyataan di Facebooknya, Jawatan Kuasa PKR Cabang Rompin masih kukuh, yakin dan tidak berganjak dengan pendirian menyokong pimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu Majlis Pengisytiharan Keluar PKR Peringkat Negeri Pahang di sebuah hotel di Triang, Bera, hari ini, bekas Ketua Cabang PKR Bera, Zakaria Abdul Hamid mengumumkan lima cabang telah lumpuh.

Beliau turut mengumumkan seramai 2300 melibatkan pimpinan dan ahli PKR negeri itu telah keluar parti.

Seorang pimpinan PKR Cabang Rompin, Khairul Bahri Abdul Samad bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan.

Menurut kenyataan di Facebooknya, Jawatan Kuasa PKR Cabang Rompin masih kukuh, yakin dan tidak berganjak dengan pendirian menyokong pimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kenyataan dan gembar gembur yang dinyatakan oleh saudara Zakaria Hamid bersama Rabidin Kasmawi (bekas KC Rompin) adalah tidak tepat, malah dilihat tidak berasas.

“Lihat sahaja dari jumlah yang hadir dalam dewan tersebut. Dilihat hanya beberapa JK Cabang yang bersama. Jumlah ini adalah jauh lebih kecil dari AJK yang setia bersama agenda reformasi tulen dibawah pimpinan DSAI,” katanya.

Beliau turut menegaskan pihak Cabang Rompin mengambil maklum tentang dakwaan ini dan akan membuat kenyataan balas.

Sementara itu, Timbalan Ketua Cabang Rompin, Jamaludin Masri melalui satu kenyataan menegaskan pengiystiharan keluar PKR beramai-ramai itu langsung tidak menjejaskan moral anggota Cabang Rompin kerana Ketua Cabang yang turut hadir dalam majlis di Bera itu telah pun dipecat oleh parti sebelum beliau mengumumkan keluar dari parti hari ini.

“Saya mewakili AJK Cabang Rompin membuat penegasan tanpa berbelah-bagi bahawa kami kekal dan setia bersama parti.

“Dengan ketiadaan Ketua Cabang, tidak akan menjejaskan kesetiaan anggota kepada parti dan Presiden, Datuk Sri Anwar Ibrahim,” katanya.

Beliau turut mengakui berasa syukur dan gembira dengan pemecatan Ketua Cabang serta pengisytiharan beliau untuk meninggalkan parti keadilan rakyat pada hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan ia adalah baik untuk parti kerana sikap dan tindakan beliau selama ini sering menjejaskan nama baik parti, khususnya Cabang Rompin.

“Kini kami yakin, ketiadaan beliau yang kami ibaratkan sebagai ‘Si Kitol’ akan menjadikan Cabang Rompin bertambah kukuh dan utuh semangat persaudaraannya, sekaligus ianya membantu kami untuk mengukuhkan pengaruh Parti Keadilan Rakyat di bumi Rompin ini.

“Sesungguhnya perjuangan reformasi berusia 20 tahun ini tidak memerlukan mereka yang meletakkan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan rakyat, slogan demi rakyat hanyalah tipu daya mereka untuk menghalalkan tindakan membuncitkan poket dan mengumpul kekayaan peribadi,” katanya.

Beliau turut menyeru kepada semua AJK dan anggota kembali merapatkan saf dan membina semula kekuatan parti dan membetulkan jajaran agar ianya kembali kepada matlamat asal penubuhan Parti Keadilan Rakyat.