PKR Cabang Bera tidak tergugat, masih utuh

Menurut kenyataan itu, Bob Manolan percaya rakyat akan menghukum pengkhianat yang mengkhianati undi serta suara rakyat pada PRU15.

Parti Keadilan Rakyat Cabang Bera tidak tergugat, masih utuh dan berfungsi seperti biasa.

Demikian tegas Ketua Cabang Keadilan Bera, Senator Bob Manolan Mohamad melalui satu kenyataan bagi menolak dakwaan PKR Cabang Bera lumpuh selepas beberapa pimpinan mengumumkan keluar parti, hari ini.

“Semua AJK Cabang masih setia bersama parti untuk memperjuangkan agenda reformasi sejak 20 tahun lalu demi untuk membawa negara ke arah yang lebih baik.

“Kami dari Cabang Keadilan Bera berdiri teguh bersama Presiden Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seluruh pimpinan di peringkat negeri mahu pun pusat serta terus mempertahankan Pakatan Harapan untuk rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Beliau turut menegaskan Cabang Keadilan Bera akan terus mempertahankan mandat yang diberikan rakyat pada PRU14.

Beliau juga percaya rakyat akan menghukum pengkhianat yang mengkhianati undi serta suara rakyat pada PRU15.

Terdahulu, hari dalam sebuah majlis pimpinan dan ahli PKR Pahang telah mengisytiharkan keluar parti beramai-ramai di sebuah hotel di Triang, Bera.

Bekas pimpinan PKR, Zakaria Abdul Hamid mendakwa seramai 2300 ahli PKR Pahang telah keluar parti dan beberapa cabang telah lumpuh.