PH kesal lima ketua negeri pembangkang tak dijemput mesyuarat covid-19

Dalam satu kenyataan hari ini, Majlis Setiausaha PH berkata mereka dimaklumkan bahawa jemputan untuk mesyuarat tersebut tidak dipanjangkan kepada menteri besar di Selangor, Kedah dan Negeri Sembilan serta ketua menteri di Sabah dan Pulau Pinang.

Pakatan Harapan (PH) meluahkan rasa kesal apabila beberapa ketua negeri tidak dijemput menghadiri mesyuarat khas bagi menyelaraskan perintah kawalan pergerakan antara negeri yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, lapor Malaysiakini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Majlis Setiausaha PH berkata mereka dimaklumkan bahawa jemputan untuk mesyuarat tersebut tidak dipanjangkan kepada menteri besar di Selangor, Kedah dan Negeri Sembilan serta ketua menteri di Sabah dan Pulau Pinang.

“PH merakamkan rasa kesal di atas tindakan Putrajaya tidak menjemput menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri ini.

“Jika ianya kerana mereka mentadbir kerajaan-kerajaan negeri yang tidak sehaluan dari segi politik dengan kerajaan persekutuan yang ada sekarang, maka tindakan kepartian sempit ini amatlah merugikan rakyat,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Sedangkan, tambah mereka, komposisi penduduk di negeri berkenaan merangkumi hampir 40 peratus penduduk di Malaysia, dan sejumlah besar kes Covid-19 turut berlaku di negeri-negeri tersebut.

“Tindakan kawalan wabak Covid-19 yang tidak mengambil kira sebahagian wilayah dalam negara pasti akan menggagalkan usaha pengawalan itu.

“Oleh itu, Majlis Setiausaha PH menggesa Putrajaya untuk segera memanggil pertemuan bersama menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri ini, demi kemaslahatan dan keselamatan warga negeri-negeri tersebut,” katanya lagi.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebentar tadi memuat naik beberapa keping gambar di Facebooknya tentang mesyuarat khas berkenaan.

Ia mendapat perhatian Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang meluahkan rasa duka cita kerana tidak dijemput, sedangkan katanya, Selangor merupakan negeri yang paling terkesan dengan wabak Covid-19.

Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir turut membalas ciapan Amirudin:

“Kedah pun tak diajak. Agaknya tak ada Covid-19 di Kedah,” katanya.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil turut meluahkan kekecewaan melalui ciapan di Twitternya:

“Tunjukkan sikap kepemimpinan!”