117 kes covid-19 dicatatkan hari ini, jumlah keseluruhan 790 kes

Malaysia mencatat lebih 100 kes baru untuk hari keempat berturut-turut.

Malaysia mencatatkan 117 kes positif Covid-19 yang baru setakat pukul 12 tengah hari tadi, menjadikan kes keseluruhan meningkat kepada 790 kes, menurut Kementerian Kesihatan, lapor Malaysiakini.

Menterinya Dr Adham Baba berkata, daripada 117 kes yang dilaporkan itu, 80 daripadanya berkaitan dengan kluster perhimpunan Tabligh di Masjid Seri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Ini bermakna Malaysia mencatat lebih 100 kes baru untuk hari keempat berturut-turut.

Terdapat 120 kes baru yang dilaporkan semalam, 125 kes pada 16 Mac dan 190 kes pada 15 Mac.

Adham juga memaklumkan terdapat 11 kes positif yang telah pulih dan dibenarkan pulang ke rumah hari ini, menjadikan jumlah pesakit yang pulih kepada 60.

Sementara itu, seramai 15 pesakit yang positif Covid-19 kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan, katanya lagi.