Agong titah supaya rakyat patuh perintah kawalan pergerakan

"Rakyat juga jangan suka sebarkan berita palsu," titah baginda.

Dua hari selepas perutusan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, malam ini Yang Di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pula bertitah agar rakyat mematuhi perintah kawalan pergerakan, lapor Malaysiakini.

Titah baginda itu disiarkan di RTM dan TV3 sebentar tadi.

“Saya ingin mengajak agar rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. Saya juga minta batalkan hasrat untuk balik kampung. Jangan berkumpul atau menghadiri sebarang aktiviti sosial di luar rumah.

“Saya juga menasihatkan rakyat agar tidak panik kerana bekalan barang keperluan dijamin cukup oleh kerajaan.

“Rakyat juga jangan suka sebarkan berita palsu,” titah baginda.

Perintah yang berkuatkuasa sehingga 31 Mac itu untuk membendung jangkitan baru Covid-19. Ia berlangsung selama dua minggu, iaitu tempoh pengeraman virus tersebut.