ATM akan bantu polis bermula 12.01 pagi Ahad ini

Orang ramai dinasihatkan agar mematuhi segala arahan daripada pihak berkuasa seperti mana yang dituntut sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula Ahad (22 Mac) ini, lapor Astro Awani.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan media pada Jumaat berkata, pasukan ATM akan menyertai pasukan PDRM bermula pukul 12.01 pagi tarikh berkenaan.

“Bermula daripada Ahad, 22 Mac 2020 jam 12.01 pagi, Angkatan Tentera Malaysia akan ditugaskan untuk membantu Polis Diraja Malaysia dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan dalam membasmi penularan wabak COVID 19,” kata kenyataan itu lagi.

Orang ramai dinasihatkan agar mematuhi segala arahan daripada pihak berkuasa seperti mana yang dituntut sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

Tindakan tegas akan diambil terhadap orang ramai yang ingkar dan tidak mematuhi perintah tersebut.

Terdahulu, Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media pada tengah hari ini berkata, kerajaan akan mengarahkan anggota tentera membantu PDRM dalam usaha untuk memastikan rakyat patuh kepada perintah kerajaan.

Tindakan itu dibuat susulan Perintah Kawalan Pergerakan hanya dipatuhi oleh 60 peratus rakyat negara ini pada hari kedua pelaksanaannya semalam.

Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan oleh kerajaan bermula 18 hingga 31 Mac ini dalam usaha untuk memastikan penularan pandemic COVID-19 yang sehingga kini telah meragut dua nyawa di Malaysia sementara jumlah kes keseluruhan yang direkodkan Kementerian Kesihatan  Malaysia ialah 1,030 kes.