Covid-19: Malaysia catat kematian ketiga

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata korban ialah pesakit 152, iaitu lelaki tempatan berusia 58 tahun daripada kluster jemaah Tabligh.

Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan kematian ketiga berkaitan wabak Covid-19 hari ini, lapor Malaysiakini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata korban ialah pesakit 152, iaitu lelaki tempatan berusia 58 tahun daripada kluster jemaah Tabligh.

“Dukacita dimaklumkan bahawa Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan telah menerima laporan satu kematian Covid-19 pada hari ini iaitu pada jam 6.27 petang, menjadikan jumlah keseluruhan kematian Covid-19 setakat ini tiga kes,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Noor Hisham, pesakit itu dimasukkan ke Hospital Tawau pada 9 Mac 2020 selepas mengalami simptom severe acute respiratory infection (SARI).

“Beliau diberi bantuan mesin pernafasan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari yang sama.

“Kesihatan beliau merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia pada 20 Mac 2020 pada jam 6.27 petang,” katanya.

Pesakit 152 merupakan kematian kedua wabak Covid-19 yang berkaitan dengan perhimpunan Tabligh di Masjid Seri Petaling Kuala Lumpur, yang diadakan pada 27 Feb hingga 1 Mac lalu.

Pada 17 Mac lalu, pesakit 178, iaitu seorang lelaki berusia 34 tahun yang turut menghadiri perhimpunan itu, disahkan meninggal dunia.

Seorang lagi mangsa ialah pesakit 358, iaitu seorang paderi berusia 60 tahun di Sarawak.

Lebih separuh daripada 1,030 kes Covid-19 di Malaysia setakat ini mempunyai kaitan dengan perhimpunan itu, yang dihadiri kira-kira 14,500 rakyat Malaysia dan 1,500 warga luar.

Setakat ini, kira-kira 10,000 hadirin sudah berjaya dikenal pasti.