Kemudahan penginapan sementara bagi pekerja rakyat Malaysia di Singapura

Kamaruddin berkata, sejak berita ada rakyat Malaysia terpaksa bermalam di stesen MRT Singapura kerana tidak mempunyai tempat berlindung selepas negara ini melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, semua pihak berkaitan segera mengambil tindakan.

Kerajaan Singapura telah menyediakan kemudahan penginapan sementara di Jurong East Sports Complex, bagi pekerja Malaysia yang bekerja di republik itu, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar, lapor Astro Awani.

Kamaruddin berkata, sejak berita ada rakyat Malaysia terpaksa bermalam di stesen MRT Singapura kerana tidak mempunyai tempat berlindung selepas negara ini melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, semua pihak berkaitan segera mengambil tindakan.

Katanya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura dengan kerjasama Malaysian Association in Singapore (MASIS) serta pihak berkuasa republik berkenaan, mengenal pasti semua pekerja dari negara ini yang mengalami masalah serupa.

“Wisma Putra amat memandang serius laporan media ini. Tinjauan yang dijalankan mendapati sudah ada rakyat Malaysia yang telah menggunakan kemudahan penempatan sementara di Jurong East Sports Complex tersebut.”

Saya menggesa pekerja Malaysia di Singapura yang mengadapi masalah penginapan atau sebarang bentuk kesulitan supaya segera menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.

“Ia amat penting bagi membolehkan perwakilan kita di sana menghulurkan bantuan konsular sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Berikutan larangan perjalanan keluar masuk ke negara ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan, terdapat laporan media yang mendakwa sebahagian rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura berdepan kesulitan kerana masih perlu bekerja.

Antara kesulitan yang dihadapi mereka ialah tidak dapat berulang-alik dari Johor untuk bekerja hingga ada yang terpaksa bermalam di stesen MRT Singapura.