Ketiga di Asia, Malaysia catat 1030 kes Covid-19 setakat hari ini

Ini menjadikan kes di Malaysia semakin meningkat setelah mencatatkan penurunan selama empat hari berturut-turut sebelum ini.

Kes Covid-19 di Malaysia melepasi angka seribu, apabila Kementerian Kesihatan mengumumkan 130 kes positif Covid-19 baru hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes menjadi 1,030 kes, lapor Malaysiakini.

Ini menjadikan kes di Malaysia semakin meningkat setelah mencatatkan penurunan selama empat hari berturut-turut sebelum ini.

Angka terbaru itu meletakkan Malaysia di kedudukan ketiga paling banyak kes di Asia.

Kes di Malaysia juga telah melepasi Jepun dengan 958 kes setakat ini dan berada di belakang Korea Selatan (8,652) dan China (80,967 kes).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah, daripada 130 kes yang dicatatkan setakat 12 tengah hari tadi, 48 daripadanya adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling.

Sebanyak 26 lagi kes kini sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.