MIC tanggung kos bawa balik rakyat Malaysia kandas di India

Sehingga Khamis Kementerian Luar memberitahu, sebanyak 1,075 rakyat Malaysia dilaporkan terkesan selepas India mengumumkan sekatan kemasukan kepada semua penerbangan dari Malaysia, Filipina dan Afghanistan berkuat kuasa 17 Mac lalu.

Enam pesawat khas dijangka membawa pulang lebih 1,000 rakyat Malaysia yang terkandas di India, esok (Sabtu, 21 Mac), lapor Astro Awani.

Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran ketika dihubungi Astro AWANI memberitahu, MIC bersetuju untuk menanggung kos kesemua pesawat sewa khas AirAsia jenis A320 yang menelan belanja kira-kira RM1.05 juta.

Namun begitu katanya, setakat petang Jumaat beliau masih belum mendapat jadual penerbangan pesawat berkenaan. 

“Kita akan menghantar tiga buah pesawat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai dan tiga lagi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Tiruchirappalli secara serentak.”Susulan itu kita sedang berbincang dengan Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di India,” katanya di sini, pada Jumaat.

Vigneswaran memberitahu, setiap sebuah persawat berkapasiti untuk membawa 186 penumpang dan dengan ini kira-kira 1,116 rakyat mampu dibawa pulang.

Tambah beliau, keutamaan diberikan berdasarkan senarai nama di Kedutaan Malaysia di India.

Sehingga Khamis Kementerian Luar memberitahu, sebanyak 1,075 rakyat Malaysia dilaporkan terkesan selepas India mengumumkan sekatan kemasukan kepada semua penerbangan dari Malaysia, Filipina dan Afghanistan berkuat kuasa 17 Mac lalu.

Daripada jumlah itu, 450 orang terkandas di Chennai, Tricy (430 orang), New Delhi (97), Bangalore (63 orang), Mumbai (24 orang) dan 11 orang di Cochin.

Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai, K. Saravanan menjangkakan jumlah tersebut akan meningkat memandangkan masih ada rakyat Malaysia yang mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di India.

Setakat Jumaat, India merekodkan 195 kes dengan 22 kes baharu.