Syed Saddiq dedah tak terima peruntukan wakil rakyat

“Apa salah orang Muar? Apa salah saya?” soal Syed Saddiq.

Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan bahawa beliau telah mendapat pengesahan yang kawasan parlimennya tidak lagi disenaraikan untuk menerima peruntukan wakil rakyat, lapor Malaysiakini.

“Saya sudah menghubungi bahagian Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk mengesahkan perkara ini dan dimaklumkan bahawa Pejabat Perdana Menteri (PMO) sendiri yang tidak masukkan Muar dalam senarai,” kata Syed Saddiq dalam satu mesej yang didedahkan anggota Majlis Tertinggi Bersatu A Kadir Jasin di akaun Facebook hari ini.

Syed Saddiq kemudian memberitahu pemberita melalui Whatsapp bahawa beliau akan menggunakan keseluruhan gajinya selama sebulan bagi membantu pihak yang terkesan dengan ancaman Covid-19.

“Gaji 1 bulan. Ya. Kerana sampai sekarang peruntukkan sebagai ahli parlimen belum diterima.

“Banyak yang susah di Muar kerana Covid-19 dan perlukan bantuan secepat mungkin,” katanya.

Dalam mesej yang didedahkan Kadir, Syed Saddiq dilaporkan berkata bahawa beliau ingin menyoal Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terlebih dahulu sebelum bertindak kerana menghormati kedudukannya sebagai presiden Bersatu.

“Masa Covid-19 melanda negara, masa ini jugalah Muar ditarik bantuannya.

“Apa salah saya, kerana saya menyokong (pengerusi Bersatu) Dr Mahathir Mohamad? Kerana saya tidak mahu bekerjasama dengan (bekas perdana menteri) Najib Razak dan (presiden Umno) Zahid Hamidi yang dikenali satu dunia sebagai kleptokrat,” katanya.

Menurut Syed Saddiq, beliau akan tetap bersama Bersatu dari awal sehingga kini meskipun ibu-bapanya pernah diugut, bantuan kewangannya ditarik serta kehilangan peluang untuk bergraduasi atas pentas.

“Pelbagai jenis sogokan ditawarkan untuk membeli jiwa supaya saya tikam parti di belakang, supaya saya buat sidang media hentam Mahathir dan Muhyiddin.

“Tapi saya tetap kekal setia bersama parti dari mula sehingga akhir.

“Apa salah orang Muar? Apa salah saya?” soalnya.

Sementara itu, Kadir turut menyoal akah kerajaan baru Perikatan Nasional (PN) kini melancarkan serangan “program diskriminasi” dengan menarik peruntukkan Syed Saddiq.

“Kerajaan Melayu-Islam yang kononnya mahu selamatkan agama, bangsa dan negara dari Cina DAP atau satu lagi kes terlepas pandang yang akan disalahkan ke atas kakitangan awam.

“Teringat malam terakhir kempen pilihan raya umum (PRU 4), (bekas menteri) Daim Zainuddin dan saya turun berkempen di Pagoh untuk bantu calon Pakatan Harapan (PH) Pagoh.

Seminggu kemelut politik yang berlangsung sebelum gelombang kedua Covid-19 mengancam negara, Muhyiddin mengumumkan bahawa Bersatu akan meninggalkan PH, yang turut menyebabkan keruntuhan kerajaan itu.

Mahathir – yang juga pengerusi PH – turut mengumumkan perletakkan jawatannya sebagai pengerusi Bersatu.

Setelah beberapa hari bertukar pilihan perdana menteri, Syed Saddiq kemudian kekal setia bersama Mahathir bersama sejumlah kecil pimpinan parti tersebut.

Wakil rakyat Bersatu yang lain kekal di bawah pentadbiran Muhyiddin yang bergabung bersama Barisan Nasional (BN), PAS, GPS untuk membentuk kerajaan PN.