Covid-19: Malaysia catat kematian keempat, jumlah kes terus bertambah

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata mangsa keempat ialah pesakit kes-238 yang merupakan seorang lelaki berusia 50 tahun.

Malaysia mencatatkan kes kematian keempat akibat jangkitan Covid-19, lapor Malaysiakini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata mangsa keempat ialah pesakit kes-238 yang merupakan seorang lelaki berusia 50 tahun.

Pesakit itu, yang dimasukkan wad di Melaka pada 12 Mac lalu, merupakan antara yang mempunyai kaitan dengan kelompok perhimpunan tabligh.

Sementara itu terdapat 153 kes jangkitan baru di negara ini, menjadikan jumlah keseluruhan menjadi 1,183.

Sebanyak 90 kes setakat ini mempunyai kaitan dengan perhimpunan tabligh yang diadakan di masjid di Sri Petaling, Kuala Lumpur hujung bulan lalu.