Polis Sabah seru 300 jemaah tabligh tampil buat saringan

Zaini berkata sehingga hari ini hanya satu kes direkodkan melibatkan individu yang tidak mahu memberi kerjasama kepada penjawat awam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass menyeru agar lebih 300 lagi jemaah dari Sabah yang terlibat dalam ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 23 Feb hingga 1 Mac lepas tampil dan membuat saringan kesihatan di klinik atau hospital berdekatan.

Beliau berkata pihaknya telah diminta untuk mengesan lebih 1,000 jemaah berkenaan, dan daripada jumlah itu seramai 700 orang berjaya dikesan dan telah menjalani saringan kesihatan.

“Sebenarnya kerjasama yang diberikan oleh ahli tabligh di Sabah sangat baik, namun masalahnya kita tidak tahu di mana keberadaan lebih 300 lagi jemaah berkenaan. Oleh itu saya minta tolong dan menyeru agar mereka segera tampil untuk buat saringan kesihatan bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

“Jangan takut kerana polis tidak akan tangkap …apa yang paling penting adalah saringan kesihatan dan kalau didapati sihat individu berkenaan akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Kita perlu tahu bahawa implikasinya sangat besar sekiranya individu yang positif wabak itu masih berhubung dengan orang lain,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.

Zaini berkata sehingga hari ini hanya satu kes direkodkan melibatkan individu yang tidak mahu memberi kerjasama kepada penjawat awam.

“Kes itu berlaku di Labuan melibatkan seorang lelaki berusia 80 tahun tidak mengikut arahan untuk membuat saringan kesihatan, selepas rakan kepada anaknya disahkan positif Covid-19 dan anaknya tinggal serumah dengan bapanya.

“Apabila enggan bekerjasama dengan pihak kesihatan, mereka telah meminta bantuan daripada pihak polis dan individu yang turut enggan bekerjasama dengan polis itu ditangkap sebelum diarahkan untuk membuat saringan kesihatan dan dikuarantin,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan di Sabah, Zaini berkata setakat ini kesedaran masyarakat dilihat semakin meningkat, namun pematuhan itu belum memuaskan kerana masih ada individu yang dilihat keluar tanpa tujuan yang munasabah.

“Oleh itu saya telah mengarahkan untuk menambah lagi jumlah sekatan jalan raya dan pemeriksaan di seluruh Sabah. Sehingga hari ini sebanyak 71 sekatan dilaksanakan dan saya berharap dengan banyaknya pemeriksaan dan sekatan, peratusan kesedaran orang ramai dapat mencapai 99 peratus,” katanya.

Beliau berkata sehingga ini polis Sabah belum membuat sebarang penahanan berhubung pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan, kerana sekatan jalan raya dibuat hanya untuk memberi nasihat kepada orang ramai selaras dengan arahan pucuk pimpinan.

“Oleh itu saya meminta semua rakyat Sabah membantu dan memberi kerjasama sepenuhnya agar objektif daripada Perintah Kawalan Pergerakan ini dapat dicapai dengan jayanya,” katanya.

– Bernama