Covid-19: Malaysia catat kematian ke-10, jumlah kes terus meningkat

Korban terbaru itu merupakan pesakit kes ke-259 dan mempunyai kaitan dengan kluster tabligh.

Hanya beberapa jam selepas kes kematian kesembilan dilaporkan hari ini, Malaysia mencatat kes kematian kesepuluh akibat jangkitan Covid-19, petang ini, lapor Malaysiakini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes kematian kesepuluh adalah melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 74 tahun.

Korban terbaru itu merupakan pesakit kes ke-259 dan mempunyai kaitan dengan kluster tabligh.

“Beliau telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang pada 13 Mac 2020 setelah mengalami simptom pada 8 Mac 2020.

“Beliau telah disahkan positif Covid-19 pada 14 Mac 2020 dan diberikan bantuan alatan pernafasan setelah keadaan kesihatan beliau semakin merosot.

“Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 4.05petang, 22 Mac 2020,” kata Noor Hisham dalam kenyataan medianya petang ini.

Dalam perkembangan sama, setakat tengah hari tadi, terdapat 123 kes baru yang telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,306 kes.

Jelas Noor Hisham, berdasarkan siasatan awal, daripada 123 kes baru yang dilaporkan hari ini, sebanyak 74 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh yang berlangsung di Masjid Jamek Seri Petaling, di Kulala Lumpur pada hujung bulan lalu.

Sebanyak 49 kes lagi adalah berkaitan dengan lain-lain kluster dan masih lagi dalam siasatan untuk kepastian.

Sementara itu, sehingga kini, seramai 46 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah itu, sebanyak 22 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.