Covid-19: Seorang lagi pesakit meninggal dunia

Menurut Noor Hisham, mangsa berusia 49 tahun adalah seorang doktor perubatan dari Kementerian Kesihatan yang pernah mempunyai sejarah perjalanan ke Turki.

Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes kematian terbaru akibat jangkitan Covid-19, lapor Malaysiakini.

“Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat pertambahan satu lagi kes kematian baru berkaitan Covid-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

“Pelaporan terbaru ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak sembilan (9) setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Noor Hisham, mangsa berusia 49 tahun adalah seorang doktor perubatan dari Kementerian Kesihatan yang pernah mempunyai sejarah perjalanan ke Turki.

Bagaimanapun katanya, kes itu disyaki bukan dari kalangan barisan hadapan mahupun daripada kalangan rakan kerja yang berhadapan pesakit Covid-19.

“Beliau telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada 17 Mac 2020 setelah mengalami simptom Severe Acute Respiratory Infection. 

“Beliau disahkan positif Covid-19 pada 18 Mac 2020 dan diberikan bantuan alatan pernafasan sejak 19 Mac 2020 setelah keadaan kesihatan beliau merudum,” katanya.

Menurut Noor Hisham, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 10.33 pagi tadi.

“Seluruh warga KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga arwah,” katanya.