PJ, Lembah Pantai dan Hulu Langat paling banyak kes

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah mendedahkan hal berkenaan melalui kicauan di Twitternya pagi ini, yang turut disertakan senarai penuh pemetaan kawasan taburan penularan kes positif.

Petaling Jaya, Lembah Pantai dan Hulu Langat menjadi tiga daerah teratas di negara ini yang mencatatkan paling banyak jumlah positif Covid-19, menurut Kementerian Kesihatan, lapor Malaysiakini.

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah mendedahkan hal berkenaan melalui kicauan di Twitternya pagi ini, yang turut disertakan senarai penuh pemetaan kawasan taburan penularan kes positif.

Setakat tengah hari (21 Mac), jumlah pesakit positif Covid-19 dari Petaling Jaya ialah 96 orang, diikuti oleh Lembah Pantai (90) dan Hulu Langat (75).

Johor Bahru dengan 52 pesakit, Seremban (42) dan Titiwangsa (41) juga berada pada senarai kawasan merah.

Di Borneo, Sabah pula mencatatkan jumlah kes yang agak tinggi di dua daerah, iaitu Tawau (37) dan Lahad Datu (32), manakala di Sarawak, ibu negeri Kuching mencatatkan 30 kes.

Semalam, Malaysia mencatatkan peningkatan jumlah korban Covid-19 kepada lapan orang, daripada tiga nyawa pada hari sebelumnya.

Jumlah kes positif juga meningkat sehingga 1,183 pada hari Sabtu, peningkatan sebanyak 153 kes berbanding pada hari Jumaat.