Jangan sentuh wang KWSP pekerja – MTUC

Solomon menambah bahawa kerajaan cuba dilihat baik dengan langkah itu, namun menurutnaya, kerajaan menggunakan simpanan pekerja untuk menyuntik RM50 bilion bagi tempoh sembilan bulan akan datang.

Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) membidas keputusan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan sehingga RM500 sebulan dari Akaun 2 untuk 12 bulan akan datang, lapor Malaysiakini.

“Pengumuman itu mengejutkan pihak kerana langkah itu akan mengurangkan simpanan jangka panjang mereka,” kata Setiausaha Agung MTUC J Solomon.

“Ketika kita meminta kerajaan menyuntik dana untuk membantu berjuta-juta pekerja di negara ini yang terjejas secara langsung oleh kesan Covid-19, ia sebaliknya memaksa pekerja mengeluarkan wang daripada dana simpanan yang bertujuan untuk simpanan usia tua,” katanya.

Solomon berkata langkah kerajaan itu akan mengakibatkan kehilangan dividen terkumpul dan dividen tahunan dalam jangka panjang.

Ketika membuat pengumuman berhubung perkara itu hari ini, Muhyiddin berkata inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada 14 juta pencarum KWSP dengan jumlah pengeluaran yang dianggarkan berjumlah RM40 bilion.

Permohonan bagi pengeluaran itu akan dibuka bermula 1 April.

Solomon menambah bahawa kerajaan cuba dilihat baik dengan langkah itu, namun menurutnaya, kerajaan menggunakan simpanan pekerja untuk menyuntik RM50 bilion bagi tempoh sembilan bulan akan datang.

Tegas Solomon, tindakan itu tidak betul dari segi moral dari segi pentadbiran.

“Ia adalah seperti ‘merompak’ daripada simpanan seseorang, yang timbul daripada kegagalan kerajaan untuk melindungi rakyatnya,” katanya.

MTUC menggesa kerajaan untuk menggunakan dana rizab yang ada untuk menyediakan pinjaman tanpa faedah sekurang-kurangnya RM5,000 setiap seorang untuk membantu pekerja menyara hidup dan keluarga masing-masing.

“Mereka boleh dibenarkan untuk membayar balik pinjaman itu melalui potongan gaji sebaik sahaja keadaan kembali normal,” tambahnya.

Solomon berkata kebanyakan pencarum KWSP menggunakan Akaun 2 mereka untuk mengurangkan pembayaran pinjaman perumahan bagi mengurangkan faedah yang perlu dibayar.

“Sementara yang lain juga bergantung kepada akaun ini untuk pendidikan dan keperluan perubatan mereka. Banyak dari mereka telah memilih untuk mengurangkan sumbangan bulanan mereka sebanyak empat peratus, yang akan menjejaskan simpanan mereka,” katanya.

Tegas Solomon, keadaan semasa negara memerlukan kebijaksanaan dari perancang ekonomi untuk meringankan beban semua pekerja di negara ini, dan bukannya memburukkan lagi keadaan.

“Jangan sentuh KWSP pekerja, potong gaji atau memberhentikan mereka kerana akibat-akibat sosial akan serius,” katanya dan menggesa kerajaan membatalkan langkah berkenaan.