8,000 topeng muka untuk kelab media

KUANTAN – Petronas menyumbang sejumlah 8,000 topeng muka kepada persatuan media di Sabah, Sarawak, dan juga negeri-negeri di wilayah Selatan dan Pantai Timur.

Pengurus Besar, Petronas Pantai Timur, Datuk Wan M Hasnan Abdullah berkata, ia bertujuan membantu barisan hadapan media dalam menjalankan tugas mereka dengan selamat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mencegah pandemik COVID-19.

Datuk Wan M Hasnan

“Topeng muka telah mula diedarkan ke persatuan media masing-masing di setiap kawasan operasi, iaitu Kota Kinabalu, Labuan Kuching; Johor Bharu Melaka dan Seremban.

“Bagi pengamal media di Pantai Timur sejumlah 2,000 lagi disampaikan kepada tiga Kelab media di Terengganu, Kelantan dan Pahang. Sumbangan tersebut diserahkan menerusi kiriman kurier,” katanya ketika dihubungi.

Wan M Hasnan berkata, inisiatif kolektif ini menunjukkan penghargaan dan sokongan kepada pengamal media atas pengorbanan dan kerja keras mereka dalam melaporkan dan memberikan kemas kini mengenai situasi COVID-19 serta peristiwa dan isu yang mempengaruhi negara dalam tempoh ini.

Tamat

Sumbangan topeng muka kepada Kelab Media Pahang (KMP) diterima oleh Pemangku Presidennya, Jasmi Faisal Muda (kanan)