Pereka fesyen gembira jadi sebahagian penjahit PPE

BANDAR JENGKA – Menerima pelawaan menjadi sebahagian penjahit Persalinan Personal Protective Equipment (PPE) bagi kegunaan pasukan hadapan memerangi pandemik Covid-19, sememangnya satu penghargaan buat seorang pereka fesyen di sini.

Suziyanti Ngah, atau lebih dikenali sebagai Kaklong berkata, beliau telah menjahit lebih 60 set PPE berupa gaun dan penutup muka untuk kegunaan petugas kesihatan Hospital Jengka.

“Rekaan disediakan pihak hospital tapi Kaklong ubah sedikit di bahagian pinggang supaya lebih selesa dan mudah dipakai.

“Kaklong jahit menggunakan fabrik jenis non woven dustprove kerana lebih lembut dan selesa. Alhamdulillah Kaklong seronok dan bangga dapat siapkan PPE untuk petugas barisan hadapan kita pada ketika mereka bersusah payah membantu kita menjaga pesakit Covid-19.

“Kita semua tahu betapa susahnya mereka bekerja dan betapa besarnya pengorbanan mereka. Sebagai menghargai jasa mereka Kaklong pastikan PPE yang Kaklong jahit dari fabrik yang selesa dan dijahit kemas,”katanya.

Kaklong bersama rakan penjahit di galerinya

Bagaimanapun katanya kekangan kain memberikan sedikit cabaran kepadanga untuk menghasilkan lebih bangak PPE namun akan berusaha meningkatkan produksi dari semasa ke semasa.

“Semoga sumbangan kecil saya dan pasukan penjahit dapat menyuntik sedikit semangat kepada pasukan hadapan kita,” katanya.

Suziyanti merupakan pereka fesyen dari Fitrah Pengantin yang telah menerima pengikhtirafan ssbagai Most Promising Designer Award 2017 daripada Mara di London

Tamat