Rakyat diminta sertai survei Covid-19

KUANTAN – Semua penduduk Malaysia yang berumur 15 tahun ke atas diminta memberi kerjasama dalam dua survei khas yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bermula 10 hingga 24 April 2020, secara atas talian.

Pengarah DOSM Negeri Pahang, Zainol Jamil berkata, survei khas itu ialah Kesan COVID-19 Kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 2) dan Kesan COVID-19 Kepada Ekonomi dan Syarikat atau Firma Perniagaan (Pusingan 1).

Menurutnya, DOSM sedang menjalankan survei secara online bagi mengukur kesan Coronavirus Disease (COVID-19) kepada ekonomi dan individu bagi pusingan 2 di Malaysia yang merupakan kesinambungan daripada Survei online pusingan pertama pada 18 Mac hingga 31 Mac 2020.

“Survei ini mengandungi 36 soalan yang merangkumi empat modul iaitu modul umum mengandungi 24 soalan, modul pekerjaan 7 soalan, modul corak kehidupan 2 soalan dan modul pendidikan 3 soalan.

“Survei khas pusingan 2 yang bermula 10 April  hingga 24 April 2020 ini terbuka kepada semua penduduk Malaysia yang berumur 15 tahun dan ke atas. Maklumat yang dikumpulkan melalui survei ini tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak-1989) di mana maklumat yang diterima adalah sulit dan hanya digunakan bagi tujuan perangkaan.

“Justeru saya mengalu-alukan rakyat negeri Pahang khususnya yang berusia 15 tahun dan ke atas untuk menyambut survei tersebut menerusi pautan yang disediakan di laman sesawang Jabatan Perangkaan Malaysia,” katanya.

Jamil berkata, hasil kajian tersebut akan digunakan sebagai input kepada kerajaan Malaysia untuk mengukur kesan COVID-19 kepada ekonomi dan individu di Malaysia.

Berikut adalah pautan untuk Survei Khas ‘Kesan COVID-19 Kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 2), https://bit.ly/SurveiCOVID19DOSMpusingan2

Manakala ini pula pautan bagi Survei Khas Kesan COVID-19 Kepada Ekonomi dan Syarikat atau Firma Perniagaan (Pusingan 1) https://bit.ly/SurveiCOVID19DOSMsyarikat . Semua syarikat atau perusahaan di Malaysia dipelawa menyertai Survei ini.

“Perhatian dan kerjasama semua dalam memberi respons serta menyebarluaskan pemakluman survei ini amatlah dihargai.

“Sama-sama kita membantu negara menangani krisis COVID-19,” katanya.

Tamat