Pengusaha hotel hargai MPK benar satu gerai makan beroperasi di Cherating, bantu pelancong terkandas PKP

ZUL FADZLI

KUANTAN – Permohonan pengusaha Maznah Guest House Cherating di sini bagi membenarkan sebuah gerai makan dibuka untuk kemudahan membeli makanan oleh pelancong asing, pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Ramadan dibenarkan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Zul Fadzli Shamsudin berkata, terdahulu dari sejak PKP 1 dilaksanakan, pihaknya menyediakan sarapan pagi secara percuma kepada tujuh pelancong asing yang terkandas di situ.

Tujuh warga asing tersebut masing-masing dari Poland (2), Francisco (1), Luxembourg (1), Itali (1), United Kingdom (1) dan Netherlands (1).

“Bagaimanapun menjelang Ramadan kesemua mereka alami sedikit kesusahan memperoleh makanan memandangkan tiada satu gerai makan pun yang beroperasi di sekitar Cherating.

“Mereka juga tidak mempunyai akses pengangkutan dan ada yang tiada telefon untuk membuat pesanan makanan dalam talian. Saya difahamkan tiada akses Grab Food juga di kawasan ini.

“Atas dasar ehsan, saya membantu mereka membeli makanan dengan orang kampung yang sudi memasak dan menjual kepada mereka. Alhamdulillah apabila MPK benarksn gerai makan lebih senang untuk mereka berjalan kaki dan membeli makanan”katanya.

Terdahulu, Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Adun Beserah, Andansura Rabu turut mengadakan lawatan dan soal jawab khas bersama tujuh warga asing tersebut.

Turut sama dalam lawatan itu adalah Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar dan Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang (Motac) Datuk Idros Yahya.

Mohd Sharkar berkata, setakat ini 155 pelancong asing dikenalpasti terkandas di negeri ini dan pihaknya masih mengenalpasti jumlah pelancong asing yang terkandas di seluruh negeri ini.

Pengusaha-pengusaha hotel dan homestay diminta menghubungi Tourism Pahang dan Motac bagi memaklumkan keberadaan pelancong di tempat mereka.

Tamat