Rakyat Malaysia cenderung menabung musim PKP

KUANTAN – Sejumlah 83 peratus rakyat Malaysia mempunyai niat untuk menabung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bermula 18 Mac 2020 lalu.

DR MUHAMMAD HAFIZ

Demikian hasil kajian bertajuk “Kajian Terhadap Kecenderungan Rakyat Malaysia Untuk Menabung Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan” yang diumumkan hari ini di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS).

Dekan Fakulti Pengajian Pengurusan KUIPSAS, Dr Muhammad Hafiz Yaakob berkata, kajian tersebut dikendalikan pensyarah Fakulti Pengajian Pengurusan (FPP) serta Bahagian Penyelidikan dan Inovasi KUIPSAS.

“Ini merupakan kajian ketiga yang dilaksanakan oleh KUIPSAS. Kajian ini juga menunjukkan bahawa kaum wanita mempunyai niat untuk menabung yang lebih tinggi berbanding lelaki.

“Di samping itu, faktor umur yang semakin meningkat turut mempengaruhi niat rakyat Malaysia untuk meningkatkan tabungan mereka. Selain itu, pasangan yang telah berkahwin turut menunjukkan niat untuk menabung dalam tempoh PKP yang lebih tinggi berbanding mereka yang bujang,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pasukan Penyelidik berjata,  kajian ini menggunakan Theory of Planned Behavior sebagai asas untuk menentukan niat (intention) seseorang untuk membuat tabungan.

Teori ini dikembangkan lagi dengan memasukkan pembolehubah kadar celik kewangan sebagai satu faktor yang mempengaruhi niat untuk menabung.

Menarik tentang dapatan kajian ini ialah kadar kecelikan kewangan seseorang tidak
mempengaruhi niatnya untuk menabung dalam tempoh PKP.

Data kajian yang diperolehi dari responden seluruh pelusuk Malaysia ini turut merumuskan bahawa kakitangan sektor badan berkanun GLC lebih berkecenderungan untuk menabung berbanding sektor lain.

Di samping itu, penduduk negeri Perak mempunyai niat untuk menabung tertinggi, iaitu 88.2%, diikuti dengan Sabah (86.6%) dan Sarawak (86.2%), manakala peratusan rakyat Pahang yang mempunyai niat untuk menabung ialah 82.4%.

Kajian turut disertai Dr Muhamad Zulfakhairi Mokthar, Maslina Mohamed, Nurul Khair Ishak dan Nor Azah Abdul Jalil.

Tamat