MPK keluarkan 74 notis bersabit kes denggi

KUANTAN – Sejumlah 74 notis dikeluarkan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bagi kesalahan bersabit penyakit denggi di tujuh kawasan lokaliti hotspot wabak itu di sini, minggu lalu.

Yang Dipertua MPK, Datuk Hamdan Husin berkata, daripada jumlah itu sebanyak 10 kes sedang disediakan Kertas Siasatan untuk tindakan mahkamah dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, operasi dilaksanakan antara 8 hingga 15 Mei di 440 premis iaitu, 282 premis di Sungai Isap; Bukit Sekilau (35);Sungai Karang (41); Taman Berjaya Permai (48); Kampung Anak Air (5); Peramu Maju (24); dan Padang Lalang (5).

“Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda RM1,000 atau penjara tidak kurang daripada enam bulan.

“Ia adalah langkah drastik yang dilaksanakan secara usahasama antara MPK, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal (SWCorp) Pahang, Jabatan kesihatan Negeri Pahang dan juga wakil-wakil komuniti Rukun Tetangga (KRT) untuk mencegah wabak denggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media  pada program Trash to Cash di Sungai Isap Perdana 2 di sini hari ini. Hadir sama Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MPK, Ab Malek Mat Ariffin.

Trash To Cash merupakan program pembelian barangan terpakai dan kitar semula daripada penduduk setempat dalam usaha memggalakkan masyarakat mengemas rumah sekali gus membersihkan kawasan pembiakan nyamuk aedes.

Lapan lokaliti panas demam denggi dipilih sebagai tempat pengumpulan dan pengurusan jual beli Trash To Cash antaranya Sungai Isap Damai, Cenderawasih Timur dan Taman Impianku.

Menariknya program ini dilaksanakan secara pandu lalu dengan kerjasama kontraktor dan Komuniti Rukun Tetangga kawasan terlibat, bagi menjaga penjarakan sosial dan kebajikan umum pada musim pandemik Covid-19.

Tamat