Hanya 3 daripada 130 pemandu pelancong Pahang terima BPN RM600

KUANTAN – Persatuan Pemandu Pelancong (TGA) Negeri Pahang mengesahkan hanya tiga daripada 130 ahlinya menerima Bantuan Prihatin Nasional One Off  yang diumumkan kerajaan Malaysia kepada semua Pemandu Teksi dan Pemandu Pelancong negara ini.

Pengerusi TGA Pahang, Chin Yeong Chyuan berkata, pihaknya telah mengumpulkan data bersabit ahli TGA Pahang untuk dimajukan kepada kementerian berkaitan bagi mendapat maklumbalas mengenai bantuan tersebut.

Menurutnya, terdahulu Naib Pengerusi TGA Malaysia, Chan Yue Ren berkata, tidak sampai 10% pemandu pelancong di negara ini menerima BPN Covid-19 yang berupa bayaran sekali berjumlah RM600.

“Justeru kami telah membuat semakan kepada ahli-ahli negeri dan mendapati di Pahang juga hanya tiga orang yang terima. Selebihnya masih menunggu.

“Kita harap Kementerian berkaitan dapat mempercepatkan urusan pemberian bantuan ini kerana sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi, rata-rata pemandu pelancong mula kekurangan kerja, bila PKP berlaku, langsung tiada kerja dan pendapatan.

“Ini kerana pendapatan kita adalah bergantung kepada tugasan kita. Sekarang tiada pendapatan. Ramai kita mangalami kesusahan kewangan, kita harap dapat bantuan dari kerajaan iaitu BPN ini,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Taman Negara Pahang, Mohd Anas Zainuddin berkata, beliau ada menghubungi ibu pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) bagi mendapatkan maklumbalas berkenaan perkara itu.

Bagaimana pun situasi yang terpaksa dilalui amat menghampakan pihaknya dimana beliau dimaklumkan pihak MOTAC telah menghantar nama-nama pemandu pelancong ke Kementerian Kewangan.

“Hal ini ada dibincangkan dalam grup TGA dan kebanyakan mereka adu masalah sama. Apabila telefon MOTAC, kami diminta rujuk kementerian  apabila telefon kementerian, diminta rujuk MOTAC,” katanya.

Pemandu Pelancong, Wan Fariduddin Wan Ibrahim berkata, beliau turut berdepan perkara sama di mana pihaknya dimaklumkan nama sudah dihantar ke kementerian, namun belum direkod dalam sistem www.treasury.gov.my

“Selang dua minggu saya hubungi kali ketiga dna mereka jawab perkara yang sama. Semakan online hanya menyatakan tiada rekod. Saya harap kerajaan dapat mempecepatkan process pemberian seperti diumumkan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah MOTAC Pahang, Datuk Isros Yahya berkata, urusan bantuan One Off pemandu pelancong dikendalikan sepenuhnya oleh ibu pejabat MOTAC manakala bantuan di peringkat negeri telah pun selesai.

“Senarai Pemandu Pelancong telah ada dalam sistem MOTAC di ibu pejabat. Sebarang urusan berkaitannya adalah antara ibu pejabat dan Kementerian Kewangan sahaja,” jelasnya.

Tamat

Edros