Kefahaman ugama faktor pematuhan PKP

KUANTAN – Kefahaman ugama menjadi faktor penting yang menjadikan masyarakat negeri Pahang sebagai antara negeri yang mempunyai tahap pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tinggi.

Demikian hasil kajian yang dibentangkan oleh sekumpulan penyelidik daripada Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Jabatan Psikologi dan Kaunseling dan Fakulti Pengajian Pengurusan, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS).

Ketua Pasukan Penyelidik yang juga Pegawai Psikologi KUIPSAS  Dr Sharafuddin Aisa Osman berkata, kajian yang bertajuk “Faktor-Faktor Psiko-Sosial Yang Mempengaruhi Penduduk Islam Malaysia Untuk Mematuhi Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)” ini merupakan kajian kedua KUIPSAS yang telah dihasilkan sepanjang PKP dilaksanakan pada 18 Mac 2020 yang lalu.

“Objektif kajian ini diadakan adalah untuk mengenalpasti faktor-faktor yang menyumbang kepada kepatuhan terhadap arahan PKP di Malaysia.

“Empat faktor psiko-sosial yang terlibat dalam kajian ini ialah kefahaman agama, sikap, pengaruh individu sekeliling dan kawalan tingkahlaku. Seramai 342 responden telah bersetuju menyertai kajian ini.

“Data kajian didapati melalui persampelan bukan kebarangkalian dengan menggunakan instrumen yang diadaptasi daripada kajian Farhana (2014). Kajian ini merupakan antara kajian terawal bagi mengenalpasti faktor-faktor yang menyumbang kepada kepatuhan terhadap arahan PKP di Malaysia dan dijangka dapat memberikan gambaran awal tentang hubungan sebab-akibat di antara faktor yang dikaji dengan kepatuhan terhadap PKP,” katanya.

Selain kefahaman kepada ajaran agama menjadi faktor terpenting yang menyumbang kepada pematuhan PKP, kajian ini juga telah merumuskan bahawa pengaruh individu sekeliling menjadi faktor kedua terpenting yang menjadikan penduduk Malaysia beragama Islam patuh kepada arahan PKP.

Seterusnya, Dr Sharafuddin berkata, sikap menjadi faktor ketiga terpenting serta kajian ini juga mencatatkan bahawa tahap kefahaman agama dalam kalangan rakyat Malaysia beragama Islam mencapai 98.4%.

Selain beliau, kajian turut disertai Dr Fahmi Zaidi  Abdul Razak, Dr Ahmad Effat Mokhtar, Dr Asmadi  Abdul Rahman, Dr Muhammad Hafiz Yaakub, Mohd Yusrizal Mohd Yunus dan Norillah Abdullah Hassim.

Tamat