Scootstue sumbang 550 pek makanan kepada miskin bandar

KUANTAN – Sejumlah 550 pek bungkusan makanan dan barangan keperluan diedarkan kepada golongan miskin bandar dan komuniti rentan di Jalan Wong Ah Jang di sini, petang tadi.

Inisiatif itu dilaksanakan 60 komuniti scooter daerah Kuantan, Scootstue dengan kerjasama sukarelawan dan komuniti itu sendiri.

Penyelaras Program, Mohd Jefri Sham Abdul Latif, 35, berkata, inisiatif ini dilaksanakan selama empat tahun berturut-turut sepanjang Ramadan.

MOHD JEFRI SHAM

“Pek makanan tersebut mula diedarkan sekitar jam 5.30 petang dan berakhir kurang 20 minit kemudian.

“Setiap tahun komuniti Scootstue akan mengumpulkan dana berupa barangan atau makanan yang akan diedarkan kepada gelandangan serta golongan miskin bandar di sini.

“Objektifnya untuk berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan dan tidak bernasib baik.” katanya ketika ditemui di lokasi.

Salah seorang penerima, Daim Sanusi, 66, dari Bukit Setongkol di sini menzahirkan ucapan terima kasih atas sumbangan diberikan pihak persendirian di sini.

“Saya selalu bagi makan kucing area sini dan dapat tahu ada sedia makanan. Mereka turut berikan kepada saya. Alhamdulillah. Terima kasih. Saya akan sampaikan kepada mereka yang memerlukan di tempat tinggal saya di Bukit Setongkol,” kata pesara kerajaan ini.

Katanya beliau akan membeli dan merebus lima kilogram ikan selayang setiap hari untuk memberi makan kucing sekitar Jalan Wong Ah Jang dan dua kilogram makanan burung.

Tamat