Calon Bebas lapor polis

PEKAN – Calon Bebas Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, hari ini membuat laporan polis berkaitan satu poster kempen yang memaparkan dirinya sebagai calon yang ditaja atas tiket PKR.

Beliau tampil membuat laporan bagi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menyatakan sudah sembilan tahun keluar PKR.

“Saya sudah sembilan tahun tidak bersama PKR dan telah ditamatkan keahlian.

“Bukti sila klik semakan keahlian PKR di laman web https://semakan.keadilanrakyat.org. Saya amat kecewa dan sedih pihak yang membuat fitnah ini. Saya calon bebas logo kunci. Kenapa perlu buat fitnah pada calon bebas yang tiada apa-apa kekuatan untuk membeli rakyat dengan duit.

“Saya berjuang dengan kudrat dan semangat. Saya harapkan pihak yang buat hentikan,” katanya ketika sidang media di Balai Polis Chini di sini, hari ini, selepas membuat laporan sekitar jam 1.17 tengahari.

Menurutnya, beliau memberi tempoh sehingga 48 jam untuk pihak-pihak berkaitan menurunkan semula poster fitnah yang disebarkan menerusi media sosial itu.

“Jika tidak, saya akan mengambil tindakan undang-undang. Saya telah mengenalpasti beberapa laman Facebook yang meletakkan poster tersebut yang jelas memaparkan fitnah bahawa saya dari parti PKR. Sedangkan saya bertanding atas tiket bebas dengan logo kunci,” katanya.

Beliau  berkata, fitnah tersebut boleh mendatangkan impak buruk terhadapnya lebih-leboh lagi kepada pengundi kalangan PKR yang sedia maklum bahawa dia telah keluar parti itu sejak 2011.

Tamat