Lima fasa penugasan PDRM Pahang untuk PKR Chini

KUANTAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang menggariskan lima fasa penugasan kepada 400 hingga 600 anggotanya yang akan bertugas sepanjang 14 hari bermula esok sehingga hari mengundi, 4 Julai nanti.

Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan berkata, bagi fasa pertama iaitu Fasa Penamaan Calon yang akan dilaksanakan di Institut Kemahitan Belia Negara (IKBN) Pekan, esok, pihaknya bakal menempatkan maksimum 450 anggota dan pegawai.

“Jumlah anggota dan pegawai akan ditambah secara berperingkat mengikut fasa dan keperluan sepanjang tempoh 14 hari bermula 20 Jun ini.

“Selepas Fasa Penamaan Calon, memasuki Fasa Berkempen pula di mana sejumlah 450-500 anggota dan pegawai akan terlibat.

“Tugasan mereka mencakupi tugas-tugas pasukan Pemantauan Prosedur Operasi Standard (SOP) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan SOP-SOP Koronavirus (Covid-19) yang mesti dipatuhi oleh calon-calon yang bertanding,” katanya kepada Sinar Harian, petang tadi 

Abd Jalil berkata, fasa ketiga ialah Fasa Undi Awal iaitu pada 30 Jun nanti, pihaknya akan menempatkan anggota-anggota polis dari Paloh Inai dan Chini manakala Fasa ke 4, iaitu hari mengundi, seramai 500-600 anggota dan pegawai akan terlibat.

Hal ini katanya bagi memastikan kelancaran perjalanan PRK N23, Chini dan usaha menjamin keselamatan umum.

Penugasan khas pasukan PDRM Pahang tidak akan terhenti setakat itu sahaja sebaliknya diteruskan untuk fasa ke lima iaitu Fasa Pasca PRK.

“Fasa ke lima iaitu bagi Pasca PRK seramai 250 hingga 300 anggota polis akan bertugas. Tugasan ini bagi menentukan tiada mana-mana orang cuba untuk memprotes atau buat kacau serta tidak puas hati atas keputusan PRK N23,” katanya.

Bagaimanapun, PDRM optimis tiada perkara-perkara buruk yang akan berlaku dan ini merupakan asas untuk memastikan SOP PRK dan SOP Covid-19 mesti dipatuhi oleh orang ramai.

Tamat