Masyarakat Asli Kampung Melai mohon elektrik

PEKAN – Masyarakat Orang Asli di Kampung Melai di sini berharap Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini bakal membawa sinar baharu khususnya penambahbaikan infrastruktur dan prasarana.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Melai, Chu Betiyu,40, berkata, isu yang melibatkan infrastruktur kampung seperti air, elektrik dan jalan tanah merah antara yang menjadi harapan seluruh penduduk Kampung Melai.

“Kampung Melai ni kampung tradisi yang dah wujud selama ratusan tahun. Kami tak ada elektrik lagi. Jalan pun masih tanah merah. Keseluruhan jalan tanah merah ni hampir lapan kilometer meliputi seluruh kampung.

“Kampung ni cuma terletak tiga kilometer daripada jalan raya besar sempadan Chini 1. Kalau dapat buat jalan ke, elektrik ke… mudahlah anak-anak orang asli nak belajar.

“Ada 39 keluarga dengan 137 penduduk serta 27 buah rumah di mana satu rumah menempatkan tiga buah keluarga. Kami harap calon-calon PRK ni mana yang boleh bantu, datanglah ke kampung kami. Orang asli tak ada akses telekomunikasi kalau calon datang kenal kami,” katanya.

Beliau berkata, bagi menghantar anak ke sekolah penduduk terpaksa melalui jalan tanah merah  sejauh tiga kilometer dan 10 kilometer lagi ke Sekolah Rendah Kampung Gumum Tasik Chini atau Sekolah Menengah Paloh Hinai.

“Kampung ni wujud ratusan tahun. Pokok durian pun dah besar pemeluk. Buat masa ni perubahan tak ada sangat. Balairaya dan jambatan ada. Penduduk jana pendapatan dengan hasil hutan dan pertanian. Pengangkutan penduduk kebanyakan hanya motosikal kerana kereta agak sukar masuk dalam kampung,” katanya.

Penduduk, Rohani A/P Rajak, 42, juga berharap bantuan kemudahan elektrik kerana sudah tidak sanggup untuk bergelap.

“Apabila malam pakai lampu minyak tanah sahaja. Nak makan guna lampu suluh. Itu saja. Dulu masa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ada beri bantuan lampu solar. Sekarang sudah rosak.

“Air bersih kami berpakat satu kampung. Orang lelaki bina saluran daripada sungai atas bukit. Tapi kalau musim kemarau tak adalah air bersih. Terpaksa angkut air sungai. Takut dah tak bersih,” katanya.

Tinjauan timurdaily ke kampung tersebut mendapati terdapat kemudahan prasarana seperti balairaya yang menggunakan tenaga solar dan jambatan besi di Sungai Melai.

Kami turut menghubungi Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri (Jakoa) Pahang bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai bantuan yang telah disalurkan ke kampung tersebut.

Tamat