Nazri optimis Mohd Sharim menang PRK Chini

PEKAN – Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi , Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah optimis calon UMNO- Barisan Nasional, Mohd Sharim Md Zain menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, 4 Julai nanti.

Ini kerana katanya seramai 17,313 daripada lebIh 20,000 pengundi berdaftar di Chini adalah pengundi kalangan warga Felda manakala bakinya pengundi dari kampung tradisi.

Menurutnya, gabungan undi Felda dan kampung tradisi pasti membolehkan calon tersebut menang bergaya namun itu bukan tiket untuk Mohd Sharim merasa selesa sebaliknya perlu memberi perhatian terhadap pengundi kampung tradisi.

“Bagi memastikan kemenangan tercapai, Mohd Sharim perlu memastikan isu-isu membabitkan warga peneroka felda dan generasi kedua Felda, selesai dan diberi jaminan penyelesaian.

“Ini termasuklah masalah perumahan generasi kedua Felda, isu gaji peneroka di bawah pengurusan Felda Technoplant Sdn Bhd dan isu air yang dikehendaki warga chini.

“Saya melihat calon bersama Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib najib bukan sahaja memberi tumpuan kempen hanya di kawasan Felda. Tetapi juga di kawasan kawasan tradisi. Gabungan itu saya optimis calon kita akan menang,” katanya.

Terdahhlu Menteru Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan tambahan RM9.25 juta bagi menyelesaikan masalah perumahan generasi kedua Felda yang tergendala.

Menurutnya, peruntukan itu adalah bagi menyambung dan menyiapkan perumahan generasi kedua yang tergendala dan siap kurang 70 peratus.

Menurutnya, selain peruntukan kewangan, sejumlah 25 hektar tanah di Tanah Rancangan Felda Chini turut dikhaskan untuk projek perumahan tersebut.

“Kita baharu sahaja selesai menyerahkan persuratan hak milik atau geran tanah peneroka Felda Chini. Kini tumpuan akan diberi kepada perumahan generasi kedua. Selama ini memberi keutamaan kepada projek yang melebihi 70 peratus siap. Sekarang kita akan perbaiki yang bawah 70 peratus siap.

“RM9.25 juta peruntukan tambahan kerajaan Persekutuan untuk menyambung dan menyiapkan kerja-kerja terbengkalai di Felda Chini yang tak sempat arwah Datuk Seri Abu Bakar Harun laksanakan dahulu membabitkan keseluruhan 25 hektar tanah di Chini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni masyarakat Felda Chini Timur 3 bersama Mohd Sharim.
 
Dalam perkembangan lain beliau memberi jaminan peneroka Felda di bawah Pengurusan Felda Technoplant Sdn Bhd tidak lagi berdepan masalah potongan kos operasi yang tinggi, sehingga menjejaskan gaji minimum RM1,100 seperti ditetapkan Kerajaan Persekutuan.

Tamat