4 air terjun bakal dimajukan

KUANTAN – Empat destinasi air terjun dan sungai di daerah ini bakal diberi tumpuan menjadi lokasi pelancongan domestik yang  lebih maju.

Lokasi tersebut ialah, Air Terjun Sungai Pandan di Panching, Air Terjun Berkelah di Taman Eko Berkelah, Air Terjun Jerangkang di Hutan Lipur Eko Rimba Jerangkang dan Sungai Lembing.

Ahli Parlimen Paya Besar, Shahar Abdullah berkata, beliau sedang meneliti potensi lokasi rekreasi air tersebut bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan kepada peduduk setempat.

“Saya akan membangunkan ekonomi setempat menerusi lokasi-lokasi ini yang dilihat banyak memberi impak positif dari segi pelancongan domestik. Hal ini bertujuan menjadikan kawasan parlimen Paya Besar sebagai Pusat Pelancongan Pendidikan (edutourism).

Keprihatinan Ahli Parlimen Paya Besar, Shahar Abdullah menyantuni warga Paya Besar terserlah dengan kemesraan dan sikap rendah diri yang wajar dipuji.

“Ia termasuk dalam tujuh bidang tumpuan utama saya yang bersifat injlusif dan komprehensif bagi memperkasa masyarakat Paya Besar di bawah projek Peka Rakyat,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen tersebut di sini, hari ini.

Dalam kesibukannya menggalas tugas selaku Timbalan Menteri Kewangan II negara di Putrajaya, difahamkan beliau akan meluangkan masa beberapa hari meskipun pada waktu cuti umum untuk mendengar masalah dan permohonan rakyat Parlimen itu.

Shahar berkata, selain ekonomi, tumpuan akan turut diberikan terhadap kebajikan, pendidikan, agama, keselamatan, kesihatan dan kepimpinan demi memastikan kelangsungan kejayaan, kemakmuran dan kesejahteraan Paya Besar.

Tamat