Indahnya Air Terjun Sungai Pandan!

Oleh: AINAL ABD GHANI

DESTINASI pelancongan negara sudah dibuka sepenuhnya tetapi pematuhan Prosedur Standard Operasi (SOP) masih perlu dikekalkan berikutan wabak pandemik COVID-19 masih belum berakhir. Jaga diri. Jaga keselamatan orang sekeliling kita.

Hari ni kita lihat lokasi-lokasi pelancongan termasuk kawasan rekreasi dan riadah mula dikunjungi orang ramai selepas kerajaan memberi kelonggaran menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos 2020.

Rakyat mula mencongak ke mana destinasi harus dituju untuk melepaskan kerinduan menghirup udara nyaman di luar rumah.

Pahang antara negeri yang mempunyai banyak lokasi alam semulajadi yang menarik untuk diteroka. Hutan, gua, sungai, air terjun, pulau, tanah tinggi dan gunung semuanya ada di negeri tok gajah ini.

Bagi penduduk Kuantan pula antara lokasi yang menjadi pilihan ialah di kawasan pantai, air terjun dan taman-taman rekreasi.

Salah satunya ialah Air Terjun Sungai Pandan atau sinonim dengan nama Air Terjun Panching iaitu sebahagian daripada Hutan Lipur Pandan.

Untuk ke lokasi, hanya mengambil masa kira-kira 20 minit selepas keluar tol Gambang dan 30 minit dari bandar Kuantan jika aliran trafik bergerak lancar.

Kecantikan air terjun yang di kelilingi flora dan fauna ini telah menjadi salah satu lokasi percutian yang sering dipenuhi oleh pengunjung terutamanya penduduk daerah Kuantan pada hujung minggu. Jom berkelah sambil berbeku dan lupakan seketika hiruk pikuk bandar dan kesibukan kerja!

Keunikan dan rimba alam semulajadi kawasan air terjun ini sekaligus menjadi tarikan pembuat filem menjadikannya sebagai lokasi penggambaran iklan dan program televisyen antarabangsa. Jom redah Hutan Lipur Pandan sambil merehatkan minda.

Untuk makluman, Air Terjun Sungai Pandan dengan ketinggian 100 meter ini antara lokasi penggambaran filem epik Hikayat Merong Mahawangsa terbitan KRU Studios beberapa tahun lalu.

Jika berminat untuk melihat panorama malam yang lebih memukau, anda disaran mengambil pakej bermalam beserta permit dan nature guide (pemandu pelancog semulajadi) yang berdaftar dengan pihak pengurusan Sungai Pandan. Jangan lupa bawa khemah jika herhasrat untuk bermalam.

Sesekali terdengar suara unggas dan cengkerik, bagai bercerita tentang sejuknya angin malam dari jatuhan air terjun… wow romantisnya!!!

Terdapat sebuah jambatan gantung sepanjang 30 meter pada ketinggian 50 meter merentasi sungai di air terjun ini yang sesuai menjadi lokasi untuk merakam kenangan.

Namun jika anda ingin melalui jambatan gantung ini, pastikan sentiasa berwaspada dan mengambil giliran supaya jambatan tidak dipaksa menampung jumlah berat yang ramai pada satu-satu masa.

Pelbagai kemudahan disediakan seperti gerai makan, tandas awam, surau, bilik persalinan dan tapak perkhemahan menjadikannya semakin menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara.

Bagi yang suka meninjau-ninjau selepas puas berendam dalam air, anda boleh berjalan di kawasan kaki bukitnya yang dipenuhi rimbunan buluh, rotan dan pokok spesies Diterocarpaceae berteras padu seperti belian, keruing, keranji, merbau dan cengal.

Pokok ini mencatat ketinggian antara 60 hingga 70 meter serta menjadi habitat lotong, monyet dan ungka. Rizab botani seluas dua hektar dipenuhi spesis periuk kera, orkid dan rotan manakala hutan lipur seluas 50 hektar dihuni spesis tapir dan burung liar tropika. Menarik sehingga dirasakan tidak ke zoo untuk melihat haiwan liar.

Spesis periuk kera unik dari jenis Nepenthes Rafflesiana iaitu spesis terbesar yang mampu menakung kira-kira satu liter air di dalam ‘periuk’nya boleh ditemui di sini.

Pusat konservasi periuk kera yang terdapat di Air Terjun Sungai Pandan adalah seluar kira-kira 10 ekar. Sesuai untuk kunjungan penyelidik dan pelajar.

Air Terjun Sungai Pandan diuruskan oleh Syarikat Sri Panching Timur Sdn Bhd.

Pengarah Urusannya, Mohd Faiisal Romli berkata pihaknya merancang membina chalet dan penginapan yang bersesuaian dengan lokasi air terjun itu.

Untuk masuk ke kawasan rekreasi ini, anda perlu membayar tiket berharga RM2 untuk dewasa dan RM1 (kanak-kanak). Parkir kenderaan dan tandas adalah percuma.

Parkir kenderaan yang luas.