700 ahli Bersatu Bahagian Pekan umum keluar parti serentak

PEKAN – Seramai 700 dari 900 ahli di 12 Cawangan Bersatu Bahagian Pekan mengumumkan keluar parti, hari ini.

Ini menjadikan Pekan sebagai Bersatu Bahagian yang pertama lumpuh di negeri ini selepas hampir 85 peratus daripada ahlinya meninggalkan parti itu serta merta.

Pengerusi Setiausaha Pengelola Parti Peribumi Bersatu Malaysia Pekan, Raja Khairuddin Raja Abdullah berkata, lapan daripada 10 Ahli Jawatankuasa Cawangan meletakkan jawatan bersama sembilan Ketua Cawangan.

Raja Khairuddin (tengah) dan Tengku Zainul (tiga dari kiri) bersama wakil cawangan membuang kad keahlian Bersatu ke dalam bakul sampah.

Menurutnya, kesemua ahli yang keluar berkenaan membabitkan keseluruhan 12 cawangan Bersatu di daerah ini.

“Keputusan keluar parti serta merta ini dibuat kerana kita hilang kepercayaan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Prinsip Bersatu ketika ini telah terpesong daripada matlamat asal penubuhan parti, rakyat marah jadi adalah lebih baik kita keluar dari Bersatu,” katanya dalam sidang akhbar berhubung tindakan itu di Kelab Golf Diraja Pekan di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, bekas Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pekan, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin.

Raja Khairudin yang juga Ketua Cawangan Bersatu Kampung Mengkasar berkata, semua ahli Bersatu Pekan yang keluar parti hari ini akan mengikut hala tuju Tengku Zainul Hisham menyokong bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Kita akan terus menyokong pimpinan Tun Mahathir dan ketika ini kita hanya menunggu borang keahlian untuk menyertai parti berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zainul Hisham berkata, 700 ahli yang keluar hari ini mengumumkan taat setia terhadp Tun Dr Mahathir dan akan menyertai Parti Pejuang Tanah Air (PPTA).

Tamat