Pahang perlu wujudkan satu garispanduan E-sukan segera

KUANTAN – Negeri Pahang perlu mewujudkan satu garis panduan sukan elektronik ( E-sukan ) segera bagi membantu pengusaha-pengusaha pusat E-sukan membuka operasi mereka serta membolehkan peminat sukan itu menjalankan kegiatan mereka dengan lebih terkawal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah Andansura Rabu berkata, ini kerana aktiviti sukan elektronik menjadi satu bidang yang menarik minat ramai terutamanya para remaja dan belia di seluruh dunia dan juga telah menjadi satu tumpuan di negeri Pahang.

“Permasalahan yang timbul sekarang adalah tidak ada pusat E-sukan yang boleh dibuka selagi tidak ada sebarang garispanduan khusus diwujudkan di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Andansura (tiga dari kiri) melawat pusat ESukan di Pahang

“Tiada lesen yang boleh dikeluarkan kerana masih belum ada klasifikasi bidang yang khusus untuk kegiatan Esukan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Andansura berkata, tindakan segera pihak negeri dan PBT mengeluarkan garis panduan bakal membantu usahawan dibidang itu untuk terus berdaya saing meski pun pada musim Pandemik Koronavirus (Covid-19).

Katanya Esukan telah diterima sebagai satu bidang sukan diperingkat antarabangsa seperti seperti Sukan Olimpik, Sukan Komenwel dan begitu juga di dalam SUKMA.

Oleh itu untuk mempertingkatkan peluang pemain-pemain Esukan berlatih dengan lebih teratur serta mengawal kegiatan mereka, maka satu garis panduan khusus perlu diwujudkan.