Artifak berusia 1000 tahun ditemui di Sungai Pahang

Ia berikutan penemuan seramik celadon dari Dinasti Song, porselin (Dinasti Ming), duit syiling Cina (Dinasti Tang) yang memberi tafsiran bahawa wujudnya perdagangan maritim pada abad itu.

Artifak dipercayai berusia lebih 1,000 tahun ditemui di kawasan Kuala Pahang, di sini semalam bakal merungkai sejarah kewujudan pelabuhan pada abad ke-10 di daerah itu.

Berita Harian Online melaporkan, ia berikutan penemuan seramik celadon dari Dinasti Song, porselin (Dinasti Ming), duit syiling Cina (Dinasti Tang) yang memberi tafsiran bahawa wujudnya perdagangan maritim pada abad itu.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN), Mesran Mohd Yusop, berkata satu kajian penyelidikan arkeologi bawah air yang dikawal selia oleh JWN akan merungkai sejarah artifak berkenaan.

Kajian itu diharap dapat mengenal pasti pemilik asal artifak itu dan bakal menilai salasilah kebudayaan di daerah Pekan.

“JWN menyarankan kajian arkeologi dan penyelamatan artifak itu dapat dilaksanakan dengan kaedah yang sistematik dan terancang.

“Ini kerana artifak sejarah yang berada di dasar sungai perlu dikaji supaya penilaian yang tepat dapat dibuat bukan sahaja untuk memahami sejarah Pekan.

“Malah ia memberikan analisis serta tafsiran dari segi konteks perdagangan maritim yang lebih luas di sepanjang pantai timur Pahang pada abad ke-10 hingga ke-12,” katanya pada sidang media di Kuala Pahang, hari ini.

Mesran berkata, artifak di dasar sungai Kuala Pahang ditemui ketika aktiviti perlombongan pasir di kawasan terbabit, baru-baru ini.

Berikutan itu, katanya, sekumpulan penyelidik diketuai Datuk Dr Dionysius S K Sharma yang mendapatkan khidmat penyelam menemui beberapa serpihan artifak di dasar sungai, semalam.

Mesran (tengah) bersama Dr Dionysius (kiri) menunjukkan artifak lama, serpihan seramik Celadon dan duit syiling Cina yang dipercayai daripada dinasti Tang, Song dan Ming yang ditemui di Kuala Pahang. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang
Mesran (tengah) bersama Dr Dionysius (kiri) menunjukkan artifak lama, serpihan seramik Celadon dan duit syiling Cina yang dipercayai daripada dinasti Tang, Song dan Ming yang ditemui di Kuala Pahang. – Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang

“Hasil penemuan itu, kita dapati ada pecahan artifak itu masih baru disebabkan kesan mekanikal peralatan yang digunakan dalam operasi perlombongan.

“Kita difahamkan, dua penyelam memaklumkan turut menemui rangka kapal di dasar sungai tetapi mereka tidak dapat melihat secara fizikal kerana air keruh.

“Kita andaikan kemungkinan ada barang berharga seperti emas yang tertimbus di dasar sungai,” katanya.

Sementara itu, Dr Dionysius berkata, pihaknya kini berdepan kesukaran dalam usaha mencari artifak berikutan keadaan air dan arus sungai.

“Soal keselamatan penyelam perlu diambil kira dan kerjasama daripada agensi diperlukan bagi dalam kajian berkenaan,” katanya.