Koperasi berasaskan tani, ar rahnu punya peluang cerah

KIANTAN – Koperasi berasaskan aktiviti pertanian dan perladangan antara yang paling sesuai diceburi di negeri Pahang bagi memenuhi 40 peratus permintaan dan pasaran di Lembah Klang.

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKMM) Radiatul Fitri Dollah berkata, ini kerana kapasiti negeri Pahang sebagai negeri paling besar di Semenanjung Malaysia diyakini mampu meledakkan potensi pasaran yang meluas di bidang itu.

Menurutnya, faktor jarak yang tidak jauh dari Kuala Lumpur menjadikan koperasi di sektor pertanian dan perladangan antara sektor yang sangat dialu-alukan oleh pendaftar koperasi baharu.

“Nilai pasaran di Lembah Klang dari sudut pertanian ialah RM11 juta. Jika ada yang bertanyakan koperasi di bidang atau sektor apakah yang mempunyai potensi pada masa kini saya  mengesyorkan pertanian dan perladangan, selain penjualan emas dan Ar Rahnu.

” Ini kerana saiz tanah di Pahang bukan sahaja boleh membekalkan oermintaan terhadap lebih 800,000 penduduk negeri ini bahkan menyokong permintaan di Selangor,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Pembukaan Ar Rahnu Skim Pajak Gadai Islam Koperasi Pengguna Pahang Berhad di Kampung Padang, Indera Mahkota di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Koperasi Pengguna Pahang Berhad, Datuk Indera Mustaffar Kamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota.

Dalam pada itu, Mustaffar berkata, Ar Rahnu cawangan tersebut merupakan cawangan kedua milik Koperasi Pengguna Pahang Berhad selepas sebuah lagi cawangan Ar Rahnu mereka yang memasuki usia 22 tahun pembukaam di Jalan Besar Kuantan.

“Alhamdulillah Ar Rahnu cawangan pertama milik kita telah memperoleh keuntungan RM5 juta setakat tahun ini dan kita jangkakan peningkatan harga emas akan menggalakkan lebih ramai lagi orang membeli dan memajak emas. Setakat ini koperasi telah membayar dividen sehingga lapan ke 10 peratus setahun kepada ahli.
“Kita pernah mengalami kerugian sekitar enam tahun dahulu dan telah belajar dari kesilapan di mana kita menambah kepakaran, pegawai-pegawai terlatih dan amanah serta mempelajari selok belok penipuan emas supaya tidak lagi berlaku kerugian,” katanya.
Beliau berkata, koperasinya sedang melihat peluang kerjasama dengan mana-mana koperasi perkhidmatan Ar Rahnu yang lain dalam usaha mengembangkan oeluang perniagaan selain telah memiliki Stesen Petrol Shell di Kuantan, Ar Rahnu Pajak Gadai Emas, perniagaan ejen insurans takaful dan Bank tanah.