Tiga wanita maut kereta bertembung treler

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Yusuf Unis, berkata kemalangan berlaku di jalan satu lorong dua hala yang dalam keadaan baik, kejadian berpunca kereta di hadapan Proton Exora cuba menggelak kon yang baru diletakkan di bahu jalan sebelah kiri.

Tiga wanita maut bersama tiga penumpang lain yang cedera dalam sebuah Proton Exora dari arah Shah Alam ke Kelantan bertembung dengan sebuah lori dari arah Raub di Kilometer 18, Jalan Bentong-Raub, kira-kira 8.25 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Yusuf Unis, berkata kemalangan berlaku di jalan satu lorong dua hala yang dalam keadaan baik, kejadian berpunca kereta di hadapan Proton Exora cuba menggelak kon yang baru diletakkan di bahu jalan sebelah kiri.

“Proton Exora yang mengekori kereta tersebut turut membrek dan menggelak terus melanggar bahagian belakang kenderaan hadapannya dan termasuk ke laluan bertentangan serta bertembung dengan sebuah lori dari arah Raub.

“Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Bentong dan Raub untuk rawatan, manakala tiga jenazah mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat, di bawah Sek 41(1) APJ 1987,” katanya.