Oleh: Farid Ibrahim
KUANTAN – Hafiz Perfumes optimis menjadi peneraju minyak wangi pasaran tempatan menerusi segmen 120 produk pati wangian tanpa alkohol bermutu tinggi.
Pengasasnya, Ahmad Hafiz Hamili menyasarkan pertumbuhan jualan sebanyak 50 peratus bersamaan RM5 juta tahun ini bersandarkan kepada kejayaan syarikatnya menempa jualan sehingga RM400,000 sebulan.

Ahmad Hafiz berkata, pihaknya akan terus mengeluarkan pati wangian yang diinspirasi daripada jenama antarabangsa bagi memenuhi permintaan pengguna.
“Terdapat lebih 500 jenis wangian yang berada di pasaran semasa dan ia turut tersenarai di dalam inventori wangian syarikat. Kami akan terus memperkenalkan lebih banyak wangian jenis roll on, bebas alkohol, tahan lama dan sesuai untuk dibawa ketika bersolat.


“Dari aspek pemasaran eksport pula, selain menyokong pasaran sedia ada di Singapura dan Brunei, kami akan memperluaskan dan berhasrat menembusi pasaran negara Islam lain seperti Indonesia,” katanya kepada pemberita, baru-baru ini.
Sementara itu, pihaknya akan lebih fokus kepada pembangunan ejen sedia ada selain memberikan tumpuan untuk mengembangkan jumlah pengedaran.

Beliau berkata, jumlah pengedar runcit di Malaysia setakat ini mencecah 30,000 premis, termasuk kedai makan, kedai jamu, salon rambut, stesen minyak, kedai barangan memancing dan banyak lagi.
Produk minyak wangi kecil ini mudah dipasarkan memandangkan semua jenis kedai fizikal boleh menjualnya dengan hanya diletakkan di kaunter bayaran atau sudut-sudut tertentu kedai yang langsung tidak mengganggu operasi semasa, perniagaan itu.
Kini, Ahmad Hafiz optimis ingin membantu mereka dalam mencari pendapatan sampingan dan turut menyasarkan pertumbuhan sebanyak 25 peratus jumlah pengedar menjelang akhir tahun ini.

Pati wangian ini boleh didapati dengan satu set 48 botol pada harga bergantung kepada jumlah pembelian dan pakej ejen.
Tamat

