Sukarelawan pasang tali keselamatan di Bukit Pulau Seri Buat Rompin, Pahang


PADA 30 Oktober hingga 1 November lalu telah berlangsung satu program kesukarelawanan antara Media Pahang dan agensi pelancongan di Pulau Seri Buat, Rompin, Pahang.


Program tersebut bertujuan mengenal pasti tempat atau lokasi baharu dan mempromosikan pulau-pulau di bawah perairan Rompin, Pahang dan serterusnya menjadi antara lokasi terbaik, untuk dikunjungi.


Pengarah Urusan Eastern Multi Travel And Tours Sdn Bhd, Wan Fariduddin Wan Ibrahim berkata, pada masa kini masyarakat Malaysia sememangnya dahagakan pelancongan domestik susulan pandemik Covid-19, yang mengekang pergerakan rakyat negara ini untuk ke luar negara.

Salah seorang sukarelawan mengikat tali keselamatan pada perdu pokok di laluan pendakian.
Kawasan puncak Pulau adalah lebih berisiko kerana tidak berpokok dan dipenuhi batu-batu pasir.
Tali sepanjang lebih 90 meter dibahagikan kepada tiga bahagian untuk memudahkan ia dibawa ke atas bukit Pulau Seri Buat
Wan Fariduddin (kiri) bersama salah seorang sukarelawan.

Oleh sebab itu katanya, beliau bersama rakan pemain industri pelancongan, terpanggil untuk sama-sama mempromosikan lokasi pelancongan domestik yang secara tidak langsung turut membuka peluang perniagaan baharu buat penduduk tempatan.


Dalam program tersebut seramai 12 sukarelawan terdiri daripada pengamal media dari Kelab Media Pahang, kru Pahang Tourism Viral dan agensi pelancongan, Al Muneer Travel And Tours Sdn Bhd ikut sama.


Pasukan sukarelawan membawa 90 meter tali keselamatan seberat hampir 40 kilogram; dipasang di sepanjang denai pendakian di Bukit Pulau Seri Buat bagi menggantikan tali lama yang sudah reput dan rosak.


“Proses membawa turun tali dari bot amat menguji kesabaran dan keselamatan pasukan sukarelawan kerana kami terpaksa membawa turun tali yang diikat pada pelampung dan berenang ke pantai.


“Ini kerana faktor air surut menyebabkan kebanyakan coral atau batu karang besar timbul di permukaan dan ini menghalang serta merisikokan bot daripada bergerak ke pantai” katanya.


Menurutnya, aktiviti bermula pada 30 Oktober yang mana peserta bertolak dari Kuantan, Pahang sekitar jam 7 dan 10 malam serta tiba antara jam 10 dan 12 malam sebelum menginap di Hotel Seri Malaysia Tanjung Gemok, Rompin.

Pada 31 Oktober, jadual yang sepatutnya bermula sekitar jam 9 pagi dari Jeti Nelayan Sungai Endau milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Johor, tergendala kerana cuaca tidak mengizinkan.


“Sekitar jam 10.30 pagi baharulah pasukan bertolak ke Pulau Seri Buat dari Sungai Endau dan sempat berteduh di Pulau Aceh disebabkan cuaca dan gelombang laut bergelora.


“Pada jam 1.00 petang pasukan tiba di Pulau Raja namun tidak dapat meneruskan perjalanan kerana air surut dan beting pasir merentangi laluan bot.


“Pasukan mengambil keputusan untuk keluar daripada kawasan itu menyusuri Pulau Sembilang menuju ke Pulau Seri Buat dalam keadaan gelombang yang mendebarkan,” katanya.
Bermula jam 4.00 petang, kerja kerja memasang tali dimulakan sehingga tamat pada jam 6.30 petang.

Pasukan sukarelawan berkhemah dan bermalam di Pulau Seri Buat dan kembali ke jeti nelayan pada hari berikutnya.


Ketua misi kesukarelawanan yang juga Presiden Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Hussin berkata, diharapkan dengan penggantian tali lama dengan tali baharu akan meningkatkan lagi tahap keselamatan pendaki di Pulau Seri Buat.

Pengalaman berkhemah di Pulau Seri Buat semestinya kenangan indah buat para peserta.
Bergambar di puncak berlatarbelakangkan lautan luas


“Meskipun ada beberapa aktiviti dan objektif utama program ini yang tidak dapat dilaksanakan susulan cuaca hujan dan air surut, namun itu tidak mematahkan semangat kami untuk menjayakan program ini.


“Puncak Pulau Seri Buat sememangnya menjanjikan panorama indah dan mengasyikkan. Ia setanding, malah lebih baik daripada pulau-pulau di luar negara.

Peserta menyalakan unggun api di malam hari
Peserta turut menjalani aktiviti snorkeling di kawasan Batu Layar berdekatan Pulau Seri Buat


“Seiring dengan keunikan pulau ini yang diwartakan sebagai Taman Laut, kaya khazanah alam, maka ia semestinya menjadi satu lokasi yang perlu anda dilawati,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Urusan Al Muneer Travel And Tours, Mohd Amirizuan Ahmad berkata, Pulau Seri Buat terletak dalam jajaran Rompin namun ketiadaan jeti pelancongan menyukarkan aktiviti turun naik pelancong di Rompin. 


“Hal ini menyebabkan pengusaha bot lebih mudah membawa pelancong menerusi Jeti Tanjung Penyabung, Johor. Perkara ini telah diambil perhatian oleh pihak Tourism Pahang yang turut membantu kami dalam menjayakan program pemasangan tali keselamatan ini.


“Pihak Tourism Pahang telah menemukan agensi pelancongan dengan pihak-pihak berwajib bagi menyelesaikan isu jeti dan diharapkan akan ada satu penyelesaian yang dapat membantu pengusaha bot serta pemain industri tempatan ,” katanya.
Tamat.