23.5 C
Malaysia
Tuesday, October 19, 2021

4 Skuad Terbaik Harimau Malaya

Dalam sejarah skuad Harimau Malaya, terdapat beberapa skuad yang dikenang-kenang sehingga kini kerana pencapaian hebat mereka mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Dalam artikel kali ini, kita akan menyingkap sejarah pencapaian yang digapai oleh 5 skuad Harimau Malaya terbaik pernah kita ada.

1. Harimau Malaya 1962 (Sukan Asia)

Menurut artikel Semuanya Bola, Skuad Harimau Malaya 1962 ini dikenang kerana sejarah pencapaian mereka meraih pingat gangsa Sukan Asia.

Sukan Asia 1962 menyaksikan Jakarta menjadi tuan rumah buat kejohanan edisi ke-4, dengan 13 acara sukan dipertandingkan.

16 buah negara mengambil bahagian dengan hanya 8 negara bertanding untuk acara sukan bola sepak.

Malaysia yang berstatus Tanah Melayu pada masa itu berada di dalam kumpulan B, bersaing bersama Vietnam Selatan, Filipina dan tuan rumah Indonesia.

Perlawanan pembukaan Malaysia mencipta kemenangan besar 15-1 ke atas Filipin. Masih kekal sebagai rekod kemenangan terbesar Harimau Malaya.

Dua hari berikutnya, Malaysia menundukkan pasukan tuan rumah, Indonesia dengan jaringan 3-2 di hadapan ribuan penyokong tuan rumah di  dalam perlawanan yang cukup mendebarkan.

Bagaimanapun, skuad kebangsaan terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua kumpulan B apabila tewas kepada Vietnam Selatan dengan jaringan 3-0 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Semasa separuh akhir, pasukan negara turut dibarisi oleh dua pasangan adik beradik: Richard dan Robert Choe serta Abdullah Nordin dan Kamaruddin Ahmad.

Skuad ini tidak bernasib baik ditewaskan oleh seteru Asia, Korea Selatan dengan jaringan 2-1.

Bagaimanapun skuad negara bangkit untuk perlawanan merebut pingat gangsa bertemu Vietnam Selatan.

Raja Bola Malaya Abdul Ghani Minhat muncul wira apabila menjaringkan kesemua 4 gol dalam perlawanan tersebut menewaskan Vietnam Selatan 4-1 tersebut.

Skuad kebangsaan menjaringkan sejumlah 22 gol dan bolos 3 gol sepanjang kejohanan untuk meraih pingat pertama negara dalam sukan bola sepak di Sukan Asia.

India muncul juara acara bola sepak lelaki pada Sukan Asia edisi 1962.

Pasukan kebangsaan 1962 dikenang dengan kehebatan lagenda bola sepak tanah air yang mendapat jolokan “Raja Bola Malaya” iaitu Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat.

2. Harimau Malaya 1972 (Sukan Olimpik)

Skuad Olimpik 1972 adalah pilihan automatik kami sebagai antara skuad Harimau Malaya terhebat pernah dihimpunkan dalam sejarah bola sepak negara.

Olimpik Munich 1972 kekal sebagai satu-satunya pentas Olimpik yang pernah menyaksikan aksi pasukan Harimau Malaya. Ia adalah pentas tertinggi pasukan negara pernah beraksi di peringkat antarabangsa.

Malaysia hadir bersama Burma sebagai reputasi gergasi Asia. Skuad kebangsaan menewaskan Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan dan Filipina untuk membuka laluan ke Munich, Jerman pada tahun 1972.

Skuad 1972 membariskan pemain hebat negara seperti penjaga gol Chow Chee Keong yang mendapat jolokan “Asian Stainless Steel Gate”, Soh Chin Aun, Dell Akbar, M. Chandran, Namat Abdullah dan ramai lagi.

Berada di dalam kumpulan A, Malaysia tewas perlawanan pertama kepada gergasi eropah, Jerman Barat yang dibarisi pemain seperti Ottmar Hitzfield dan Uli Hoeness dengan jaringan 3-0.

Perlawanan berikutnya, Malaysia bangkit di Ingolstadt menewaskan Amerika Syarikat 3-0 hasil jaringan Shaharuddin Abdullah, Salleh Ibrahim dan Zawawi Yusof.

Wajib menang perlawanan terakhir bertemu Maghribi untuk ke pusingan seterusnya, Malaysia terkulai apabila tewas dengan jaringan 6-0 kepada wakil benua Afrika itu.

Malaysia menamatkan cabaran peringkat kumpulan di kedudukan ketiga dengan hasil satu kemenangan. Poland muncul pemenang pingat emas acara bola sepak pada Sukan Olimpik 1972.

3. Harimau Malaya 1974 (Sukan Asia)

Tehran merupakan tuan rumah Sukan Asia 1974. Terdorong dengan pencapaian layak ke Olimpik dua tahun sebelum itu, Malaysia hadir sebagai salah sebuah pasukan pilihan dalam Sukan Asia edisi ke-7 ini.

Mengekalkan pemain-pemain dari skuad 1972 seperti Soh Chin Aun, Namat Abdullah dan M. Chandran, Malaysia turut diperkuatkan dengan bintang sensasi baru ketika itu, Mokhtar Dahari.

Posisi penjaga gol diisi oleh R. Arumugam yang menggantikan Chow Chee Keong yang tidak mendapat pelepasan oleh kelab beliau di Hong Kong.

Malaysia memulakan cabaran Kumpulan C Sukan Asia 1974 dengan kekalahan 8-3 kepada Israel.

Skuad kebangsaan kemudiannya bangkit mengikat Jepun 1-1 sebelum memadamkan cabaran Filipina dengan kemenangan 11-0.

Malaysia menamatkan cabaran kumpulan C di tangga kedua, layak dengan perbezaan jaringan meninggalkan Jepun yang terpaksa mengigit jari di tempat ketiga kumpulan.

Sukan Asia 1974 menyaksikan peringkat separuh akhir diadakan di dalam peringkat kumpulan. Malaysia ditempatkan di dalam kumpulan maut bersama-sama tuan rumah Iran, Iraq dan Korea Selatan.

Tewas 0-1 kepada Iran sebelum seri tanpa jaringan bertemu Iraq, Malaysia bangkit menewaskan Korea Selatan 3-2 untuk melayakkan diri ke perlawanan penentuan pingat gangsa.

Isa Bakar menjadi wira negara dengan jaringan pada minit ke-48 dan 81. Malaysia menumpaskan Korea Utara 2-1 untuk membawa pulang pingat gangsa, mengulangi pencapaian 12 tahun lalu di Jakarta.

4. Harimau Malaya 1980 (Sukan Olimpik)

Muthu Kumar, Chow Kwok Keong, Eric Yong, Ali dan jurulatih skuad kebangsaan, Mr. Harry Mountain.

Senarai di atas adalah watak-watak dalam filem “Ola Bola” yang mengambil inspirasi perjuangan pasukan bola sepak kebangsaan melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow.

Watak-watak di dalam filem “Ola Bola” menggambarkan pemain negara seperti R. Arumugam, Soh Chin Aun, James Wong dan Khalid Ali di bawah bimbingan Karl Heinz Weigang.

Harimau Malaya mengharungi pusingan kelayakkan ke Olimpik Moscow tanpa penyerang sensasi Mokhtar Dahari yang mengumumkan persaraan beliau pada tahun 1980.

Tanpa kelibat Super Mokh, Weigang mengubah percaturan dengan mengabungkan barisan muka lama dan pemain muda.

Malaysia beraksi cemerlang di peringkat kumpulan. Menang empat perlawanan menentang Korea Selatan, Brunei, Filipina dan Indonesia, Malaysia turut mencatat keputusan seri 1-1 dengan Jepun.

Malaysia menamatkan cabaran Kumpulan 2 di tangga teratas dan menempatkan diri menentang Korea Selatan dalam perlawanan playoff yang diibaratkan final itu.

Bertemu Korea Selatan, Bakri Ibni meletakkan Malaysia di hadapan seawal minit ke-12. Kim Kang-nam menyamakan kedudukan selepas 18 minit separuh masa kedua bermula.

Cabaran Korea Selatan ternoktah apabila James Wong menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-85 perlawanan. Stadium Merdeka menjadi saksi salah satu gol terhebat pernah dijaringkan oleh anak Malaysia di peringkat antarabangsa.

Kita semua tahu apa yang berlaku selepas itu. Harapan rakyat Malaysia untuk melihat barisan negara beraksi di arena Olimpik punah ekoran kerajaan memboikot Sukan Olimpik Moscow.

Bola sepak negara juga seakan hilang sebagaimana punahnya harapan kita di Olimpik 1980.

Selepas itu, Malaysia hanya gah di peringkat serantau dengan memenangi emas di dalam Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.

Sumber: Semuanya Bola

Artikel Berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

155,472FansLike
21,554FollowersFollow
15,442FollowersFollow
- Advertisement -

Artikel Terkini