23.5 C
Malaysia
Tuesday, October 19, 2021

“Ayah Sanggup Basah Kuyup Untuk Hantar Duit Belanja RM10”, Anak Balas 7A Result SPM

” Pernah sekali, ayah datang dalam keadaan basah kuyup semata-mata ingin menghantar duit belanja berjumlah RM10 untuk dua minggu,”

Demikian luahan Anissa Suhaimi, 18, yang menyentuh hati ramai apa menjadikan kesusahan hidup sebagai pemangkin kejayaan dengan mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Apa yang lebih mengharukan, Anissa yang juga merupakan seorang anak pekerja pembersihan menghadiahkan keputusan 7A dan 2B buat ibu bapanya yang sebelum ini bersusah payah menunggang motosikal lebih 40 kilometer selama tiga tahun bagi menyekolahkannya.

Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Melaka itu berkata, sebelum ini dia dan keluarganya menetap di Sungai Rambai, Jasin dan berpindah di Kampung Kesang Laut di sini sejak tiga tahun lalu.

Tambahnya, bapa, Suhaimi Md. Jas, 63, bekerja sebagai pekerja pembersihan di Sungai Rambai, manakala ibunya pula suri rumah.

” Kami sekeluarga hanya mempunyai sebuah motosikal lama untuk bergerak.

” Jadi sepanjang bersekolah, emak dan ayah terpaksa menunggang motosikal dari Kesang Laut untuk berjumpa saya yang tinggal di asrama.

” Malah pernah sekali, ayah datang dalam keadaan basah kuyvp semata-mata ingin menghantar duit belanja berjumlah RM10 untuk dua minggu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kesang Laut, di sini, hari ini.

Anissa berkata, jika keluarga ingin berjumpa pada waktu pelepasan asrama, bapanya akan menurunkan ibunya terlebih dahulu di Melaka Sentral

Kemudian bapanya akan mengambilnya di sekolah sebelum berpatah balik ke stesen bas itu untuk meluangkan masa bersama-sama.

” Disebabkan tidak mahu menyus4hkan keluarganya, saya cuba berjimat cermat dan jarang berbelanja di sekolah, sebaliknya hanya mengulang kaji pelajaran pada waktu rehat.

” Namun, saya tidak pernah berlapar, ada sahaja kawan-kawan yang baik hati membekalkan makanan untuk saya atas balasan saya membantu mereka dalam pembelajaran.

” Guru-guru di sekolah juga banyak membantu dan memberi dorongan untuk saya buat yang terbaik, bukan sahaja dalam pembelajaran tetapi juga kokurikulum,” katanya.

Ditanya kaedah pembelajaran dipraktikannya sepanjang menghadapi peperiksaan SPM pada Februari dan Mac lalu, dia yang mesra dengan panggilan Anis berkata, antara rahsia kejayaannya adalah dengan tidak ‘memegang’ telefon bimbit sepanjang berada di asrama.

Dengan cara itu, jelasnya, ia dapat mengelakkan daripada fokusnya terganggu selain ia menjadi motivasi buat dia dan rakan-rakan mengulang kaji pelajaran bersama-sama.

” Selain itu, menjelang peperiksaan juga, saya banyak melakukan solat hajat, bacaan Yasin dan juga cuba menenangkan diri setiap kali sebelum masuk dewan peperiksaan,” katanya.

Lebih membanggakan Anis juga merupakan johan Pertandingan E-Hafazan al-Quran Menengah Perempuan Peringkat Negeri Melaka.

Jelas Anis, dia kini bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam bidang komunikasi dan pengajian media dan sudah membuat permohonan ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sementara itu, ibunya, Nor Aini Meslan, 54, mengakui berbangga dengan pencapaian anaknya itu walaupun tahu kesukaran dan cabaran yang sering dihadapi terutama membabitkan capaian internet ketika sesi PdPR.

Suri rumah itu berkata, sebagai ibu, sedikit sebanyak timbul rasa s3dih dan kasihan terhadap anaknya kerana tidak mampu menyediakan kemudahan pembelajaran yang baik, namun dia bersyukur kerana Anis tidak pernah merungut mengenai kesusahan mereka.

” Akses internet di rumah ini memang sangat teruk, Anissa terpaksalah duduk di belakang rumah mencari liputan dan tidak akan berganjak sepanjang proses pembelajaran.

” Kalau satu jam kelas dalam talian, satu jam itulah dia di situ, tidak bergerak.

” Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, namun Alhamdulillah dia masih dapat buat yang terbaik dan membanggakan kami,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

155,472FansLike
21,554FollowersFollow
15,442FollowersFollow
- Advertisement -

Artikel Terkini