21.8 C
Malaysia
Tuesday, October 19, 2021

Tiga Syarat Taubat Nasuha Yang Mudah Untuk Kita Fahami

MANUSIA memang tidak lepas daripada dosa, tetapi persoalannya sejauh mana kita mencuba menghindarinya dan tekad untuk bertaubat serta tidak mengulangi semula.

Ada dalam kalangan umat Islam yang bersikap sambil lewa dalam hal itu, malah ada menyedari dosa yang dilakukan, tetapi mengambil sikap gemar menangguhkan hasrat bertaubat dengan memberikan pelbagai alasan.

Antara dalih yang sering digunakan ialah usia masih muda, tanggapan pintu taubat sentiasa terbuka luas dan berpandangan belum tiba waktu sesuai untuk kembali kepada jalan diredai Allah SWT.

Ketua Imam, Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, Mohd Radhi Abdul Ghani, berkata tidak dapat dinafikan setiap manusia itu tidak lari atau sunyi daripada melakukan kesilapan, termasuk perkara yang menjerumuskan kepada dosa.

Bagaimanapun, kata Mohd Radhi, apa yang membezakan setiap Mukmin adalah kesanggupan untuk bertaubat kepada Allah SWT.

“Allah SWT berfirman pada akhir ayat 31, Surah An-Nur: “Orang yang bertaubat ialah mereka yang akan beroleh kejayaan.”

Taubat nasuha

“Mesti diingat, maksiat atau dosa yang tidak dibasuh dengan taubat, akan meninggalkan kesan karat pada hati.

“Janganlah berlengah sehingga seluruh hati diselaputi karat dosa kerana pada waktu itu, kalbu tidak lagi menerima limpahan nur dari Allah SWT,” katanya.

Mohd Radhi berkata, Allah SWT memerintahkan setiap hamba supaya bertaubat dengan selengkapnya, dengan melakukan taubat nasuha.

“Ada tiga syarat dalam melaksanakan taubat nasuha, ia termasuk individu itu mestilah mempunyai perasaan bersalah lalu terus meninggalkan perbuatan dosa berkenaan.

“Kemudian, individu berkenaan perlu menyesalinya dan berazam tidak akan mengulanginya lagi, barulah ia akan diterima oleh Allah SWT,” katanya.

Tambahnya, perbuatan dosa pula terbahagi kepada dua, iaitu dosa kecil dan besar. Dosa kecil akan diampuni oleh Allah dengan segala amal kebaikan yang dilaksanakan seperti solat fardu, membaca al-Quran dan beristighfar.

Bagaimanapun bagi dosa besar, ia hanya akan diampuni dengan melakukan taubat nasuha, sekali gus setiap Muslim bertanggungjawab mengetahui perkara yang dikategorikan sebagai dosa besar.

“Imam al-Zahabi dalam kitab al-Kaba’ir menyenaraikan lebih 70 perkara sebagai dosa besar. Justeru, tiada istilah kita melakukan maksiat dengan alasan tidak tahu,” katanya.

Katanya, sebaiknya setiap umat Islam perlu sedar setiap dosa dilakukan kerana kesedaran itu jalan kepada penyesalan dan seterusnya memohon taubat kepada Allah SWT.

“Usah tunggu sehingga kita tiada rasa bersalah lagi apabila melakukan perkara berdosa.

“Antara tanda taubat kita diterima, hati semakin lembut dan terbuka untuk melakukan ibadat, selain mudah tersentuh apabila berbuat maksiat dan menyesalinya,” katanya.

Sumber: Berita Harian Online

Artikel Berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

155,472FansLike
21,554FollowersFollow
15,442FollowersFollow
- Advertisement -

Artikel Terkini