Pelan pemulihan, perkasa ekonomi negara di landasan tepat

Pelan pemulihan, perkasa ekonomi negara di landasan tepat

30/11/2019 1:22 PM Off By Muhayudin Salleh

Melihat pada pelan pemulihan dan memperkasa ekonomi negara yang sedang dilaksanakan kerajaan sekarang, Parti Amanah Pahang berpendirian bahawa ia berada laluan yang tepat.

Pengerusi Amanah Pahang, Zulkifli Mohamed, berkata, suku ketiga tahun ini Tabung Haji mencatatkan keuntungan bersih RM500 juta di samping kenaikan 100% saham FGV yang mencecah RM1.31 seunit berbanding dengan RM0.64 seunit tahun lepas.

Menurutnya, Petronas juga mencatatkan untung bersih RM36.4 bilion dalam tempoh 9 bulan, secara tidak langsung membuktikan plan pemulihan ekonomi dan agenda memperkasakan ekonomi negara sedang berjalan dalam laluannya yang sebenar.

“Lebih bermakna FGV yang semua pihak sedia maklum sangat bermasalah ketika berada di bawah kerajaan lalu, kini semakin pulih dengan mencatat 11% kenaikan hasil pendapatan atau kira-kira RM360 juta berbanding tahun lalu.

“Bahkan ia pada masa sama dapat mengurangkan kerugian bersih iaitu daripada RM849. 46 juta pada tahun 2018 menjadi RM262. 41 juta tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada Timur Daily.

Beliau berkata, usaha untuk menyelamatkan Felda, Tabung Haji dan lain-lain agensi kerajaan bukanlah boleh dilakukan dalam satu malam.

Tegasnya, pada hakikatnya ia memerlukan masa dan komitmen berterusan kerajaan dalam memantau serta merangka strategi holistik agar segala langkah yang diambil benar-benar menjadi ‘ubat mujarab’.

“Semua yang dilakukan ini mampu memberi pertumbuhan dan daya saing baharu kepada agensi-agensi kerajaan yang dikenalpasti untuk diselamatkan.

“Insyaallah saya yakin dan percaya bahawa rakyat yang prihatian akan dapat melihat dengan jujur akan perubahan yang sedang dan telah dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan selama 18 bulan mentadbir Malaysia,” katanya.